بسم الله الرحمن الرحيم
Permasalahan berkenaan Badal Haji
Asal pensyariatan badal haji adalah berdasarkan hadis Ibnu Abbas r.a bahawa beliau berkata:
“Adalah Al-Fadl bin Abbas r.a menunggang di belakang Rasulullah s.a.w , maka telah datang seorang wanita dari Khasa’m dan Al-Fadl melihat kepadanya dan wanita itu melihat kepadanya, maka Rasulullah s.a.w memalingkan wajah Al-fadl ke arah lain. Maka wanita itu bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w, sesungguhnya kefarduan Allah ke atas hambanya pada haji telah sampai ke atas ayahku sedangkan dia seorang tua yang tidak mampu bermusafir, adakah aku perlu mengerjakan haji baginya? Jawab Baginda s.a.w: (Ya) . Dan ketika itu adalah haji wida’”
Disepakat oleh Al-Bukhari dan Muslim dan lafaz hadis oleh Al-Bukhari.
Juga hadis yang diriwayatkan juga oleh Ibnu Abbas r.a:
“Bahawa seorang wanita dari Juhainah telah datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk mengerjakan haji, tetapi dia tidak mengerjakannya sehinggalah dia meninggal dunia, adakah aku perlu mengerjakan haji baginya? Jawab baginda s.a.w: (ya, kerjakanlah haji baginya, apakah pandangan kamu jika ibumu mempunyai hutang adakah kamu perlu melangsaikan hutang tersebut baginya? Langsaikan hutang Allah, kerana ia lebih berhak ditunaikan”
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari r.a
Hukum-hukum yang berkaitan:
Pensyariatan badal haji di sisi fuqaha’.
Pensyariatan badal haji di sisi fuqaha’.
(1) Jumhur mazhab Al-Syafiyyah, Al-Hanafiyyah dan Al-Hanabilah mengharuskan menggantikan haji bagi orang yang telah meninggal atau orang yang sakit berterusan yang tiada harapan untuk sembuh.
(2) Adapun Mazhab Al-Malikiyyah tidak mengharuskannya kerana haji adalah ibadah badan, maka apabila tidak mampu kerana kematian atau sakit ianya gugur dari kefarduan seorang mukallaf.
Firman Allah:
“Allah telah menfardukan haji ke atas manusia bagi siapa yang mempunyai kemampuan perjalanan” (al-Imran: 97)
Rajih:
-Pendapat jumhur fuqaha’ kerana telah sabit hadis akan kesahihannya dari lisan baginda s.a.w dan telah mahsyur ia dilakukan oleh para sahabat r.a. Maka badal haji adalah disyariatkan di dalam islam.
Adakah orang yang hendak melakukan badal haji kepada orang lain perlu mengerjakan haji dahulu untuk dirinya?
Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a:
“Bahawa rasulullah s.a.w telah mendengar seorang lelaki berkata “labbaik bagi Syubrumah” Baginda s.a.w bertanya siapakah syubrumah? Jawabnya: Saudaraku atau kerabatku, lalu Baginda s.a.w bertanya: Adakah engkau telah mengerjakan haji bagi dirimu? Jawabnya: Tidak. Lalu baginda s.a.w bersabda: Kerjakanlah haji bagimu, kemudian kerjakan pula bagi Syubrumah”
(1) Berdasarkan hadis ini Mazhab Al-Syafiyyah dan Al-Hanabilah mensyaratkan hendaklah orang yang ingin mengerjakan haji bagi orang lain itu mengerjakan haji dahulu baginya sendiri.
(2) Al-hanafiyyah pula mengatakan ia bukanlah syarat wajib, kerana baginda s.a.w tidak bertanya kepada wanita dari Khasa’m dalam hadis yang pertama dan wanita Juhainah pada hadis yang kedua adakah pernah mengerjakan haji bagi diri mereka dahulu? Dan kerana ia adalah hutang, dan menunaikan hutang bagi si mati adalah sah dan wajib walaupun dia sendiri berhutang.
Rajih:
-Pendapat As-syafiyyah dan Al-hanabilah kerana dalam hadis pertama ketika itu musim haji, maka tidak perlu bertanya adakah sudah mengerjakan haji atau belum , maka sudah tentu wanita itu juga sedang atau telah selesai menunaikan haji bagi dirinya.
-Adapun hadis kedua, ia adalah kewajipan nazar dan bukannya kefarduan seorang mukallaf, maka wajib adalah lebih rendah dari fardu maka dibolehkan menunaikan kewajipan nazar walaupun belum lagi mengerjakan kefarduan haji bagi dirinya. Adapun menunaikan kefarduan orang lain sedangkan dia belum lagi menunaikan kefarduan atas dirinya adalah tidak sah.
-Hutang barang adalah berkaitan dengan harta semata-mata, maka ia boleh dibayar oleh orang lain walaupun orang itu sendiri berhutang, adapun Haji ia berkaitan dengan harta dan badan, oleh itu hutang barang tidak boleh diqiaskan kepada hutang haji.
Bolehkan seseorang melakukan badal haji kepada 2 orang atau lebih dalam satu masa?
(1) Kesepakatan fuqaha’ tidak mengharuskannya.
Syeikh Al-Marghinani Al-Hanafi menyebut dalam Al-Hidayah:
“Siapa yang disuruh oleh dua orang supaya mengerjakan haji bagi setiap mereka, dan dia berihram dengan berniatkan kedua-duanya, niat itu tidak sah dan haji itu hanya pada orang yeng mengerjakan itu sahaja. Kerana dia disuruh mengerjakan haji tanpa terdapat perkongsian, maka tidak mungkin haji itu jatuh dari salah seorang dari keduanya kerana tiada keutamaan dari orang pertama atau kedua”
Ibnu Qudamah Al-Hanabilah menyebut dalam Al-Mughni:
“Sesiapa yang berihram dengan niat untuk dirinya dan juga orang lain, maka niat itu hanya sah pada dirinya sahaja kerana tidak mungkin niat itu jatuh pada kedua-dua orang pada masa yang sama”
Berkata Imam As-Syafie r.a. di dalam Al-Umm:
“Jika dua orang lelaki mengupah seorang lelaki untuk mengerjakan haji bagi ibu bapa kedua-dua mereka, maka dia keluar berihram bagi kedua-duanya serentak, maka batal niat pada kedua-duannya, dan haji itu sah pada dirinya sahaja”
Wallaha’lam….
Panel Taqyif Fiqh,
Darul Ifta'
University Of Mu'tah, Jordan.
20/10/2011 (12:16 am)
0 comments:
Post a Comment