Friday, 20 April 2012

Membaja Kualiti Pejuang Ilmu~


Bismillahirrahmanirrahim.

Tanggal 17 April 2004 Masihi...

Tarikh ini memperingatkan kita dengan satu peristiwa bersejarah yang berlaku, pada 8 tahun yang lalu. Pada hari tersebut, seorang tokoh besar akhirnya bergelar syahid menemui Kekasih yang didambakannya.

-As Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi-

Berbicara mengenai sejarah tokoh ini, saya menjangkakan dan percaya sudah ramai yang telah menghadamnya, paling kurang maklumat berkenaan dengan beliau kini boleh didapati hanya dengan sekadar meng’google out’ di laman sesawang bagi yang kurang tahu mengenai beliau. Namun bukan sejarah agung beliau yang ingin saya ceritakan di sini.

Beliau adalah contoh yang saya kira sangat baik dan layak untuk dijadikan contoh ikutan dalam perjuangan menegakkan kebenaran di samping dari sudut istiqamahnya, baik dari segi tsabatnya, kesungguhannya mahupun pengorbanannya. Sungguhpun kita masih terlalu kerdil sekiranya hendak dibandingkan dengan pencapaian beliau selama hidup sehingga pengakhiran hayat beliau, namun hakikat tersebut tidak sepatutnya membantutkan kita semua sebagai tolibul ‘ilm untuk sentiasa berusaha meraih darjat yang terbaik di sisi-Nya sepertinya.

Mari kita teliti bersama sebuah firman Allah s.w.t yang berbunyi : 

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya :

Tidak sepatutnya bagi orang-orang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.”
(At Taubah : 122)

Tanggungjawab sebagai seorang penuntut ilmu tidak seharusnya dipandang sebelah mata kerana setiap mukallaf itu pasti akan disoal kelak akan segala urusannya. Setiap manusia berpeluang untuk menjadi yang terbaik di mata Sang Pencipta, cuma pilihan terletak di tangannya untuk menjadi insan yang bagaimana sama ada biasa, sederhana, luar biasa, atau super luar biasa dalam menabur USAHAnya.

Terlalu banyak ciri-ciri penuntut ilmu yang berkualiti boleh kita sama-sama amati dan contohi, termasuklah antaranya :

1)      1) Al ‘amal bi ‘ulumihi (Beramal dengan ilmunya)

Firman Allah s.w.t :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ كَبُرَ مَقْتاً عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

Maksudnya :
 
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”

(Surah As Saff : 2 – 3)

2)      2) At takhalluq bi khuluqin hasanin (Berakhlak dengan akhlak yang baik)


3)      3) At tabligh kullu ma yata’allamahu (Menyampaikan setiap apa yang dipelajarinya)

Sabda Rasulullah s.a.w :
((خيركم من تعلم القرآن وعلمه))

Maksudnya : “Sebaik-baik kamu adalah siapa yang belajar Al-Quran dan menyampaikannya”.
 (Riwayat Bukhari)

4)   4) Al juhd fi tahsil redha ma’alimihi (Berusaha untuk mendapat redha guru-gurunya - kerana di situlah terletaknya keberkatan ilmu yang diperolehinya).

Justeru, sukalah saya menyeru diri sendiri, juga sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah, untuk sama-sama mempertingkatkan nilai dan kualiti diri kita di mataNya, walau siapa kita, walau dalam apa sahaja tanggungjawab yang kita selia, walau di mana sahaja kita berada, semoga syurga Allah yang tertinggi dapat kita raih bersama.

Akhir kalam, semoga kita semua tergolong dalam golongan yang disebut dalam sabda Rasulullah s.a.w : 

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya : “Barangsiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga”.
(Riwayat Ibn Majah dan Tarmizi)

Besarlah harapan saya agar dengan penulisan yang serba dhaif dan ringkas ini mampu memberi manfaat kepada kita semua, dan menjadikan saya layak untuk mendapatkan ganjaran kebaikan di sisi Allah Taala.

Mafhum daripada hadis Rasulullah s.a.w : “Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka dia mendapatkan pahala semisal dengan orang yang melakukannya.”
 (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi)

Allahummaj’alna minhum. Wallahu a’lam.

*Buah tangan untuk panduan bersama :

Siti Robiatun Addawiyah bt Roslan,
Panel I’jaz ‘Ilmi,
Tahun 3 Fiqh Wa Usuluhu.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons