Sunday, 22 April 2012

Kenali Syiah [1]



بسم الله الرحمن الرحيم

Antara Individu yang Diangkat oleh Syiah Sebagai Imam Mereka
Fasal Pertama: Pengenalan

Mabhas 1: Takrif Syiah dan pecahannya.

Syiah Ar-Rafidah: Ar-Rafidah bermaksud “Orang yang menolak”, oleh itu mereka ialah golongan yang menolak kepimpinan khalifah Abu Bakar dan Umar r.a serta mengkeji dan mencela pada sahabat nabi s.a.w.

Syiah Imamiyyah:  Ialah golongan yang beriktikad dengan dua belas imam sebagai pemimpin, dan mereka menjadikan beriman dengan  kepimpinan dua belas imam ini rukun islam yang kelima.
Senarai dua belas imam ahli bayt yang mana imam-imam yang suci ini tidak meredhoi perbuatan Syiah terhadap mereka:
1-Ali Bin Abi Talib r.a (40H)
2-Al-Hasan Bin Ali r.a, digelar sebagai Al-Mujtaba (50H)
3-Al-Husain Bin Ali, digelar sebagai As-Syahid (61H)
4-Ali Zainul Abidin Bin Al-Husain r.a, digelar sebagai As-Sajjad (95H)
5-Muhammad Al-Baqir Bin Ali Zainul Abidin, digelar sebagai Al-Baqir (114H)
6-Ja’far As-Sodiq Bin Muhammad Al-Baqir, dikenali sebagai As-Sodiq (148H)
7-Musa Al-Kazim Bin Ja’far  As-Sodiq (183H)
8-Ali Al-Redho Bin Musa Al-Kazim (203H)
9-Muhammad Al-Jawwad Bin Ali Ar-Redho (220H)
10-Ali Al-Hadi Bin Muhammad Al-Jawwad (254H)
11-Al-Hasan Al-Askari Bin Ali Abdul Hadi (260H)
12- Muhammad Al-Mahdi Bin Al-Hasan Al-Askari .

Syiah Ja’fariyyah: Ialah dinisbahkan kepada Imam Ja’far Bin As-Sodiq, dimana beliau dinamakan sebagai imam yang keenam di sisi agama Syiah. Imam Ja’far As-Sodiq adalah ahli fekah sunnah wal jamaah  ketika zamannya, dan disbahkan kepada beliau  tanpa keredhoannya.

Syiah Ar-Rafidah, Al-Imamiyyah dan Al-Ja’fariyyah adalah sama dari segi iktikad mereka walaupun dari segi fiqh Syiah Ja’fariyah mengakui bahawa mereka mengikut mazhab Imam Ja’far As-Sodiq, dan mereka berada di Iran, Lubnan di bawah nama “Hizbullah” pimpinan Hasan Nasar dan Iraq.

Syiah Zaidiyyah: Dinisbahkan kepada Zaid bin Ali Bin Al-Husin r.a (122H), apabila ditanyakan kepada Zaid tentang Abu Bakar dan Umar, beliau memuji dan mendoakan kedua-duanya, maka kaumnya menolak beliau. Maka dinamakan golongan syiah yang tidak menolak kepimpinan Abu Bakar dan Umar sebagai Syiah Zaidiyyah kerana dinisbahkan kepada Zaid. Kebanyaknya terdapat di Yaman.

Mabhas Kedua: Benarkah Syiah diasaskan oleh yahudi bernama Abdullah Bin Saba’?

Siapakah Abdullah Bin Saba’?
Berkata Dr Husin Al-Mausuwy (Seorang ulamak Syiah yang dilahirkan di karbala’, membesar dengan pengajian sepenuhnya diterapkan untuk menjadi seorang ulamak Syiah, tetapi  kemudiannya  beliau telah bertaubat dan mengikut ahli sunnah):

“Sesungguhnya bagi orang Syiah, Abdullah Bin Saba’ adalah seorang yang tidak wujud, ia direka oleh ahli sunnah untuk mengaibkan Syiah dan iktikad mereka. Juga menghalang manusia dari mendekati mereka dan mazhab ahli bayt”

Ini dibuktikan dengan pengakuan sayyid Muhammad Al-Husain Ali Kasyif Al-Ghita’(ulamak Syiah) berkenaan Abdullah Bin Saba’:

“Sesungguhnya Abdullah Bin Saba’ adalah suatu khurafat yang dicipta oleh orang Umawi dan dan orang Abbasi kerana dengki terhadap ahli bayt yang suci, maka hendaklah orang yang berakal tidak meyebukkan diri dengan dengannya”

Tetapi didapati dalam kitab tulisannya ( sayyid Muhammad Al-Husain ) yang mahsyur ((Aslu As-Syiah wa Usuluhu 40,41 )) apa yang menunjukkan kewujudan individu yang bernama Abdullah Bin Saba’ dimana dia berkata: “Adapun Abdullah Bin Saba’ yang dikaitkan dengan Syiah atau Syiah dikaitkan dengannya, maka kitab-kitab Syiah kesemua  menyatakan laknat terhadapnya dan tiada kaitan dengannya”

Maka laknat terhadap Abdullah Bin Saba’ menunjukkan kewujudan individu tersebut dikalangan Syiah sendiri.

Begitu juga telah mengingkari kewujudannya Murtadha Al-Askari di dalam kitabnya (( Abdullah Bin Saba’ wa Asatir Al-Ukhra)) begitu juga Sayyid Muhammad Jawwad Mughniyah di dalam muqaddimahnya terhadap kitab tersebut.

Maka apabila diteliti di dalam kitab-kitab Syiah, didapati dari nas-nasnya akan kewujudan Abdullah Bin saba’ secara jelas dan yakin, diantaranya:

1-Dari Abi Ja’far r.a: “Bahawa Abdullah Bin Saba’ telah mengaku dia adalah nabi dan mendakwa Ali r.a adalah tuhan, apabila sampai berita ini kepada Ali r.a beliau memanggilnya dan bertanya, lalu dia mengakui perkataannya itu dan berkata (kamu adalah tuhan dan aku adalah nabi) Lalu Ali telah mengurungnya selama tiga hari agar dia bertaubat tetapi dia tidak bertaubat, lantas dia telah dibakar dengan api”
 (Ma’rifatu Akhbar Al-Rijal oleh Al-Kasyi 70,71)

2-Telah berkata Saad Bin Abdullah Al-Qami tentang “As-sabiyyah”(pengikut Abdullah Bin Saba’):
“Para pengikut Abdullah Bin Saba’ iaitu Abdullah Bin Wahab Al-Hamadani, Abdullah Bin Kharsi dan Ibnu Aswad, mereka ini adalah orang yang mula-mula mengaibkan dan mencela para sahabat nabi r.a”
(Al-Maqolat wal Al-Furuq: 20)

3-Telah berkata Sayyid Nikmatullah Al-Jazairi :
“Telah berkata Abdullah Bin Saba’ kepada Ali r.a: (Kamu adalah tuhan yang sebenar-benarnya,maka Ali r.a telah membuangnya ke kawasan Al-Madaien). Dan dikatakan dia dahulu adalah seorang yahudi dan telah masuk islam, dan ketika masih di dalam yahudi dia telah berkata terhadap yusa’ Bin Nun(Pembantu nabi Musa) dan nabi Musa sepertimana dia berkata terhadap Ali r.a dan dirinya”
(Al-Anwar An-Nu’maniyah: 2/234)

susunan dan kajian oleh:
Mohammad Amir Wan Harun
Mantan Pengerusi Darul Ifta'

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons