Wednesday 9 May 2012

Perlukah Merendah Diri untuk Syurga?

Syi'ir yang popular dikalangan kita orang Islam Asia, tetapi tidak dikalangan bangsa arab, segelintir mereka mungkin ada yang pernah mendengarnya, tetapi susah untuk mendengar mereka melafazkannya.

اِلهِي لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ اَهل
وَ لاَ اَقْوَي عَلَي النَّارِ الْجَحِيْمِ
فَهَبْ لِي تَوْبَةً وَ اغْفِرْ ذُنُوْبِي
فَاِنَّكَ غَافِرُ الذَنْبِ الْعَظِيْمِ

Syi'ir ini pernah satu ketika menjadi isu hangat di Malaysia, tetapi diamnya isu ini bukanlah bererti tiada lagi yang bertanya. Ada yang mendakwa bahawa ia merupakan kalam Imam as-Syafie rahimahullah [w:204H]. Walaubagaimanapun, saya tidak menjumpai sebarang sumber yang mengatakan bahawa ia adalah kalam Imam as-Syafie rahimahullah, barangkali ia tidak sahih. Hasil selidik saya dengan kebanyakkan ahli bahasa, kalam ini dikatakan sebuah syair daripada seorang penyair kelahiran khurasan iaitu Abu Nawas yang lahir pada tahun 149H.

Dikatakan juga Abu Nawas merupakan seorang individu yang lagho, syairnya banyak tentang arak dan hiburan. Namun di saat-saat akhir kehidupannya, dia telah banyak menghasilkan syi'ir bersifat ketuhanan, dan syair ini merupakan antara syi'ir bersifat ketuhanan hasil karangan beliau.

Sesetengah ulama’ menyanggah lafaz syi'ir ini dan berkata ia boleh menggugat akidah, bahkahn bagi ulama' yang syadid mengatakan ia boleh membawa kepada syirik, kerana sebagai seorang Islam hatta insan yang beragama selain Islam sekalipun, pengakhirannya hanya sama ada syurga, ataupun neraka.

Kita selaku Islam dituntut untuk berdoa memohon syurga. Namun sesetengah ulama’ juga menyanggah sifat insan yang berdoa untuk memohon syurga kerana ia dikatakan sebagai insan yang tamak, dan sifat tamak ini merupakan antara sifat mazmumah. Sedangkan jelas dalam hadis-hadis baginda sollallahu'alaihiwasallam bahawa akan keadaan yang membawa Insan ke syurga, antaranya:

Baginda sollallahu'alaihiwasallam bersabda :

“Barangsiapa meninggal dunia dan dia mengetahui bahwa tidak ada sembahan (yang haq) selain Allah maka dia masuk syurga.”
Riwayat Muslim

Jadi mengapa perlu lagi kita untuk memohon syurga?

Bercerita tentang sifat tamak ini, ia ada perbezaan. Berdoa untuk memohon syurga bukanlah satu sifat yang yang tamak kerana syurga adalah hasil hubbullah [cinta kita kepada Allah subhanallahuta'ala.] Bezakan antara dua ini, hubbuljannah dan hubbullah. Hubbuljannah merupakan sifat yang tamak, hubbullah merupakan sifat orang mukmin dan syurga adalah merupakan hasil daripada hubungan cinta kita kepada Allah subhanallahuta'ala [hubbulillah]. Allah subhanallahuta'ala yang akan mengurniakan syurga kepada hamba-hambaNya yang cinta kepadaNya.

Walaubagaimanapun ada sesetengah ahli sufi yang marah jika cinta kita mengharapkan balasan syurga Allah subhanallahuta'ala. Sedangkan cinta kita adalah sebenar-benar cinta tanpa mengharapkan sebarang balasan. Apapun kecintaan kita kepada Allah subhanallahuta'ala maka syurgalah balasannya.

Firman Allah subhanallahuta'ala:

”..... Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah .....”
 Al-Baqarah [2] : 165

Untuk membahaskan tentang cinta kepada Allah agak panjang, selain beribadat kepada Allah subhanallahuta'ala, kita juga perlu untuk mengikut sunnah baginda sollallahu'alaihiwasallam.

Firman Allah subhanallahuta'ala:

”Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (muhammad sollallahu'alaihiwasallam), nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Ali ’Imran [3] : 31

Berbalik kepada lafaz syi'ir, terdapat golongan yang berpendapat bahawa lafaz syi'ir tersebut merupakan lafaz rendah diri seorang hamba yang tidak merasakan dirinya layak untuk ke syurga, tetapi dalam masa yang sama tidak mampu untuk menahan derita api neraka, ini dikatakan sebagai lafaz adab merendah diri terhadap tuhan. Bukannya tidak mahu masuk syurga, tetapi rasa seperti tidak layak.

Memang benar, ia merupakan sebuah lafaz merendah diri kepada tuhan, tetapi lafaz ini bukanlah adab merendah diri terhadap natijah syurga mahupun neraka, sebaliknya lafaz ini merupakan lafaz rendah diri untuk memohon keampunan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan, merendah diri kerana terlalu banyak dosa dan bimbangkan tuhan yang mungkin sukar untuk mengampun dosa-dosa yang terlalu banyak, maka lafaz keampunan dimulakan dengan lafaz rendah diri terhadap syurga dan neraka tuhan untuk bercerita yang mana jika dosa tidak diampunkan, mungkin menyukarkan untuk masuk ke syurga, tetapi dalam masa yang sama tidak mampu untuk menahan seksa api neraka.

اِلهِي لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ اَهل
وَ لاَ اَقْوَي عَلَي النَّارِ الْجَحِيْمِ

Sebab itu, untuk berzikir dengan lafaz syi'ir ini, ia mestilah lengkap sehingga lafaz

فَهَبْ لِي تَوْبَةً وَ اغْفِرْ ذُنُوْبِي
فَاِنَّكَ غَافِرُ الذَنْبِ الْعَظِيْمِ

Dan mungkin lebih cantik untuk menghabiskan sahaja lafaz syi'ir ini, kerana hiperbola bahasa yang tinggi dalam syi'ir membuatkan lafaz untuk baris pertama dan kedua tidak mencapai maksud sehinggalah lafaz pada baris berikutnya dibaca. Apatah lagi baris itu dimulakan dengan perkataan ‘fa’ yang membawa maksud ‘fa tertib’.

Jika bacaan syi'ir ini terhenti setakat

اِلهِي لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ اَهل
وَ لاَ اَقْوَي عَلَي النَّارِ الْجَحِيْمِ

Apakah boleh menggangu akidah? Jawapannya, YA, ia bergantung kepada i'tiqod individu untuk memberi maksud akan apa yang dilafazkannya, bahkan sesetengah ulama' yang syadid mengatakan lafaz ini syirik (seperti yang telah dibincangkan di atas). Kerana ia membawa maksud kita seperti mahu duduk ditengah-tengah, tidak mahu ke syurga, juga tidak mahu ke neraka. Ada saya perhatikan sebuah lirik nasyid yang mungkin tidak berapa sesuai, ia berbunyi:

ku tidak layak ke syurgamu,
tidak juga sangup ke nerakaMu,
kusujud rendah diri,
kembali kepadaMu.

Sebab itu perlu bagi mereka yang ingin berzikir dengan lafaz syi'ir ini, maka hendaklah dia menghabiskan menyebut lafaz syi'ir ini setidak-tidaknya sehingga lafaz

فَهَبْ لِي تَوْبَةً وَ اغْفِرْ ذُنُوْبِي
فَاِنَّكَ غَافِرُ الذَنْبِ الْعَظِيْمِ

Pembaca yang didoakan dalam keadaan rahmat dan kasih sayang Allah subhanallahuta'ala. Di sisi kita masih terdapat banyak lagi lafaz-lafaz tasbih dan zikir yang boleh kita amalkan, dan ingatlah Allah subhanallahuta'ala itu maha penerima taubat.

 Firman Allah subhanallahuta'ala:

“maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat”
an-Nasyr [110] : 3

waAllahu a'alam...

------------------------------

1- Terdapat banyak dalil dan perbahasan mengenai kaitan i'tiqod antara memohon syurga dan memohon untuk hindar dari api neraka, ada juga perbahasan tentang syi'ir ini yang dikaitkan antara pembayang pertama dan pembayang kedua yang mana ia bercerita tentang syurga 'al-Firdaus', iaitu syurga yang tertinggi, dan bukanlah syurga secara keseluruhannya,
2- Ada juga yang berpendapat bahawa perkataan 'ahli' itu yang bermasalah.
3- Apapun dalam penulisan ini saya cuba untuk meringkaskan bagi mudah difahami, penulisan ini juga turut dibincangkan bersama musyrif kami Sheikh Ahmad al-Mumani.
4- Jika terdapat sebarang ketidakjelasan, bolehlah emailkan sebarang bentuk soalan kepada fiqhmuasir@gmail.com

Mohamad Ariff ibn Abdul Sarip
Panel Mustolah Waqi'iyah

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons