Sunday, 17 July 2011

Ulamak Rabbani Pendokong Sunnah di Zaman Ini.

Dr Yusuf Al-Qardawi

Nama beliau Yusuf bin Abdullah Al-Qardawi. Beliau dillahirkan pada 9 September 1927. Beliau salah seorang ulamak sunnah di zaman kini, beliau dikenali sebagai ulamak kontemporari kerana kebanyakan fatwa-fatwa beliau berkaitan dengan masalah-masalah terkini.

Dilahirkan di sebuah kampung bernama “Safat Turab” di kawasan barat Mesir. Ayahnya meninggal dunia ketika beliau berumur 2 tahun, seterusnya pakcik beliau yg membesarkan beliau dengan pendidikan yg sempurna. Beliau menghafal Al-Quran sebelum mencapai  umur 10 tahun[1] , dan kemudiannya memasuki Al-Azhar As-Syarif sehingga menamatkan peringkat Thanawi .

Kemudiannya beliau menyambung pelajaran di bidang usuluddin sehingga  ke peringkat  A’liyah pada tahun 1953. Pendidikan pertamanya ini adalah bersama-sama sahabat-sahabatnya berjumlah 180 pelajar.[2] Seterusnya ke peringkat Alamiyah dan mendapat  ijazah untuk mengajar dari Kuliah Bahasa Arab pada tahun yg berikutnya.

Dan pada tahun 1958 beliau mendapat Diploma Ma’had Pengajian Tinggi Bahasa Arab di dalam Lughah dan adab dan dua tahun selepas itu mendapat Ad-Dirasat At-Tamhidiyah Al-Ulya di dalam bahagian Ulum Quran dan As-Sunnah dari kuliah Usuluddin.

Seterusnya menamatkan PHD pada tahun 1973 dengan keputusan Imtiyaz  beserta kepujian pertama  dari kuliah yg sama. Dan tajuk thesisnya ialah : “Zakat dan peranananya dalam menyelesaikan masalah-masalah sosial”

Perjalanan kehidupan beliau selepas menamatkan pelajaran:

Beliau pernah dipenjarakan beberapa kali kerana menyertai Ikhwanul Muslimin. Kali pertama dipenjarakan pada tahhun 1949 Masihi  ketika zaman Al-Maliki[3], kemudian ditahan sebanyak tiga kali ketika zaman Jamal Abdul Nasir selama 20 bulan.

Kemudian pada thun 1961 beliau bermusafir ke Qatar dan bekerja di sana sebagai mudir ma’had-ma’had agama as-sanawi. Beliau diberi kewarganegaraan Qatar dan pada tahun 1977,beliau mengepali penubuhkan kuliah Syariah dan Pengajian Islam di Jamiah Qatar  dan dilantik menjadi dekan sehingga tahun 1990.
Disamping itu beliau juga dilantik menjadi mudir Pusat Kajian Hadis dan Sirah An-Nabawi  di Jamiah Qatar dan masih menguruskan hingga sekarang.

Anugerah-anugerah yg pernah diterima beliau:

-Anugerah dari Bank Pembanggunan Islam  di dalam Ekonomi Islam  tahun 1990 Masihi.
-Anugerah dari Raja Faisal, menerimanya bersama sahabatnya Muhammad Al-Ghazali di dalam Pengajian Islam tahun 1993 Masihi.
-Anugerah dari Rektor Universiti Antarabangsa Islam Malaysia di Malaysia tahun 1996 masihi.
-Anugerah dari Sultan Hasanah Bolkiah di dalam Fiqh Islam tahun 1997 masihi.
-Anugerah dari Negara  Dubai  di dalam Al-Quran Al-Karim .
-Anugerah dari Qatar  dan disampaikan oleh Raja Qatar Hamad bin khalifah Aali tsani 8 November 2009 .
-Anugerah Maal Hijrah dari Kerajaan Malaysia dan disampaikan oleh
Yang Dipertuan Agong Malaysia pada 18 Disember 2009.
-Raja Jordan Abdullah tsani menganugerahkan kepada beberapa ulamak termasuklah beliau  yang menyertai Mu’tamar yang ke lima belas yang dianjurkan oleh Muassasah Al-Bayt Al-Malakiah  lilfikri Al-Islami di bawah tajuk : “ Suasana di dalam Islam” yang diadakan di Amman pada Semtember 2010.

Karangan-karangan beliau:

Beliau telah menulis lebih dari 120 hasil penulisan yg terdiri dari kitab-kitab dan pelbagai risalah dari Fatwa-fatwanya, begitu juga telah dirakamkan majlis serta program-program yg dikendalikan oleh beliau. Disamping ketinggian beliau di dalam ilmu, beliau juga seorang penyair  yg baik. Kebanyakkan syair-syairnya berkisar tentang keimanan , pembakar semangat untuk membebaskan Al-Aqsa serta tentang akhlak mulia.

Jawatan yg pernah dipegang beliau:
-Ketua persatuan ulamak-ulamak muslimin
-Ketua Majlis Fatwa dan penyelidikan  Eropah
-Anggota Majlis Penyelidikan Islam di Mesir.
-Ketua bagi Pertubuhan  Al-Balagh Al-Qatriyyah  yg mengendali laman web : “ Islam online” .sehingga 23 mac 2010.
-Anggota  Majlis Al-Fiqh Al-Islami di Mekah Al-Mukarramah.
-Ketua Pemantau Syarie’  bagi  Kewangan Islam Qatar dan Kewangan Islam Bahrain.
-Anggota Majlis Amanah  bagi menggerakkan dakwah di Afika.
-Naib ketua Pertubuhan Zakat Antarabangsa  di Kuwait.
-Anggota Majlis Amanah untuk Pusat Pengajian Islam di Oxford.

Kelantangan beliau bersuara:

Kerajaan Britain telah menolak permintaan visa  untuk memasuki  England kerana fatwanya menyokong hukum pengebom berani mati  di dalam Israil di mana beliau menyatakan perbuatan itu adalah syahid manakala Britain mengatakan ianya sebagai keganasan.[4]






Oleh: Mohammad Amir Wan Harun,
Pengkhususan Fiqh Wal Usul,
University Mu'tah. Jordan.

[1] Muzakkirat Al-Qardawi : 9/1
[2] Sirah At-Tafsiliyyah lil Qardawi.
[3] Muzakkirat Al-Qardawi : 22/1
[4] BBC: 7 Febuari 2008.

Thursday, 14 July 2011

Upah membaca Al-Quran kepada si mati vs Upah doa pengampunan paderi kepada si hidup

                Segala puji bagi Allah raja sekalian alam, selawat dan salam ke atas baginda s.a.w.

            Alhamdulillah Ramadhan akan membuka tirainya tidak berapa lama lagi, bulan yang dilimpahkan keberkatan di dalamnya, bulan yang digandakan amalan kebaikan padanya…. Maka berpusu-pusu kebaikan 
yang dilakukan untuk merebut peluang ganjaran bulan ini..


            Antara amalan turun temurun di kebanyakkan tempat di Malaysia khususnya di bahagian Utara ialah upah membaca Al-Quran, zikir dan doa kepada kerabat yang telah meninggal dunia untuk menunjukkan kasih sayang yang dalam terhadapnya. Maka kita dapat lihat di surau-surau, tempat-tempat pengajian umum diedarkan borang-borang  untuk menyertai amalan ini dan lazimnya bagi setiap nama arwah dikenakan RM10 
sahaja sebagai upah untuk membacakan Al-Quran kepada si mati.

            Ketika berada di Sekolah Menegah lagi apabila melihat borang-borang ini saya merasakan ada sesuatu yang tak kena, tetapi tidak berani bersuara kerana takut dimarahi oleh pak cik dan mak cik, takut juga dituduh sebagai pengikut “Wahabi” tambahan pula yang menganjurkan amalan ini adalah “Ustaz”, takkan ustaz buat benda yang tak betul? Tak kan la ustaz tu tak tau mana yang salah dan mana yang betul? Tok-tok  guru dulu-dulu tak pernah kata apa-apa pun, takkan tiba tiba pulak saya nak kata amalan ni salah? Persoalan-persoalan ini yang selalu timbul setiap tahun tetapi tidak berani berkata apa-apa kerana siapalah saya kalau nak dibadingkan dengan ustaz-ustaz …..

            Apabila telah mula mengenal serba sedikit tentang Al-Quran, Sunnah, Qaul-qaul Ulamak maka saya cuba mengkaji tentang amalan ini berdasarkan sumber hukum yang ada di dalam islam.

            Saya tidak mahu sentuh tentang khilaf adakah bacaan Al-Quran sampai kepada si mati atau tidak, kerana kebanyakkan masyakarat di Malaysia berpegang kepada ianya sampai dan dalil-dalil pengharusan juga kuat. Cuma saya lebih suka untuk menghuraikan tentang penganjuran amalan mengambil  dan memberi  upah untuk membaca Al-Quran kepada si mati.

1-Amalan ini tiada di zaman Rasulullah s.a.w dan tidak pernah dilakukan oleh sahabat-sahabat r.a, dan tiada juga di zaman ulamak-ulamak terdahulu, amalan ini mula muncul sejak 100tahun sebelum ini akibat dari umat islam semakin jauh dari Al-Quran dan amalan-amalan islam yang lain.

2-Cuba kita tukar amalan ini dalam bentuk yang mudah difahami, amalan ini menuntut seseorang itu memberikan duit kepada seorang yang mahir dengan Al-Quran dan doa-doa supaya dia mendoakan si mati, maka apakah beza dengan cara pengampunan agama kristian yang menuntut supaya dibayar kepada paderi agar paderi mendoakan keampunan untuknya?

3-Adakah orang yang membaca Al-quran atau doa, dia ikhlas di dalam pekerjaannya? Sekiranya dia membaca Al-Quran untuk mendapatkan ganjaran bermakna tiada keikhlasan di dalam ibadat, dan ibadah yang tidak ikhlas sudah pasti tidak diterima, sekiranya amalan itu tidak diterima dari pembacanya pada peringkat awal lagi, maka bagaimanakah amalan itu akan sampai kepada si mati? Maka sia-sialah duit yang dibayar tadi.

4-sekiranya mereka mengatakan, upah haji boleh diterima di sisi Allah, mengapa upah membaca Al-Quran tidak diterima?
-Ulamak menjelaskan ibada itu ada tiga bahagian:
 1-Ibadah badan. Seperti : Solat dan puasa,membaca Al-Quran,zikir, doa dan lain2.
2-Ibadan harta: Seperti zakat,diat,kafarah,fidyah dan lain2.
3-Ibadah badan dan harta: seperti haji dan umrah.

-Ibadah yang di dalamnya terdapat di dalam bahagian ibadah harta boleh dibuat oleh orang lain. Sepertilah seorang yang mengupah orang lain untuk mengira hartanya dan mengeluarkan zakat hartanya.Maka begitu juga di dalam haji, dan juga masalah menggantikan orang lain untuk membuat haji terdapat dalil yang khusus mengharuskannya.

-Ibadah badan tidak boleh digantikan dengan orang lain, maka tidak boleh seseorang itu bersolat untuk orang lain ataupun berpuasa untuk orang lain di sisi Imam Al-Syafie r.a. Maka tidak boleh disamakan upah haji dengan upah membaca Al-Quran.

5-Amalan ini merosakkan kehendak agama  yang menuntut supaya seorang anak itu mendoakan ibu bapanya sendiri seperti di sebut di dalam hadis: “Apabila mati anak adam terputus melainkan 3 perkara: 1-Sedekah Jariah 2-ilmu yang bermanfaat 3- Anak soleh yang mendoakan ibu bapanya.  Apabila doa kepada ibu bapa boleh diperolehi dengan memberi duit kepada seseorang yang lain, maka buat apa dia susah payah membaca Al-Quran dan berdoa untuk ibu bapanya, maka akan hilanglah kasih sayang terhadapa kedua orang tuanya.
           
-Banyak lagi dalil yang boleh ,menolak amalan  ini dan ia bukan dari amalan islam. Sabda baginda s.a.w :  “siapa yang melakukan amalan yang tiada dalam amalan kami, maka ia tertolak”.

-Dan islam itu adalah agama yang mudah dan sentiasa hendak memudahkan manusia. Islam tidak mengharamkan sesuatu melainkan ia mendatangkan ganti yang lebih baik dari itu. Islam mengharamkan zina dan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik iaitu pengharusan kahwin sehingga 4.

Islam telah menunjukkan jalan yang terang tentang cara berbuat baik kepada kedua ibubapa:

         جاء رجل من بني سلمة فقال: يا رسول الله. هل بقي من بر أبواي شيء أبرهما بعد موتهما؟ قال: نعم، الصلاة عليهما، والاستغفار لهما، وإنفاذ عهدهما بعدهما، وصلة الرحم التي لا توصل إلا بهما، وإكرام صديقهم…. رواه أبو داود والبيهقي.

“Telah datang seorang lelaki dari Bani Salamah dan berkata: Wahai Rasulullah s.a.w adakah masih boleh aku berbuat baik kepada kedua ibubapaku setelah kematian mereka? Baginda berkata: Ya.. Berdoa ke atas keduanya, memohon keampunan terhadap keduanya, melaksanakan janji kedua-duanya yang tidak sempat dilaksanakan, menjaga silaturrahim dengan saudara-saudara kedua ibubapanya dan memuliakan rakan-rakan kedua-duanya”

Imam Ahmad berkata: “Siapa yang berdoa kepada kedua ibubapanya di dalam duduk tahiyyat solat lima waktu, maka dia telah berbuat baik kepada keduanya

Bersedekah dan mewaqafkan harta dan menghadiahkan sedekah dan waqaf kepada kedua orang tuanya. Ini adalah lebih baik kerana ulamak sepakat tentang keharusannya dan pahala tersebut sampai kepada si mati, berbanding mengupah orang untuk membacakan Al-Quran kerana keluar dari khilaf itu adalah yang terbaik.

         جاء في حديث سعد بن عبادة حين استأذن النبى صلى الله عليه وسلم ان يتصدق عن امه فأذن

 Hadis Saad bin Ubadah ketika beliau meminta izin dari Rasulullah s.a.w untuk bersedekah bagi pihak Ibunya, maka baginda s.a.w mengizinkannya.Diriwayatkan oleh L-Baihaqi (3220)

 Wallaha’lam…


Oleh: Muhammad Amir Wan Harun
Takhasusu Fiqh Wal Usul
University Mu'tah.


Jawapan: Menjadi wali kepada anak luar nikahnya.



Pertanyaan: Seorang lelaki telah mengahwinkan anak perempuannya sedangkan anak itu adalah anak yang terhasil sebelum berkahwin, bagaimanakah status perkahwinan anak perempuannya itu di sisi islam?
Dan bagaimana pula dengan perundangan di Malaysia terhadap status perkahwinan itu?


Segala puji kepada Allah, selawat dan salam pada rasulnya..
Di sisi Islam anak luar nikah tidak dinisbahkan kepada ayahnya melainkan pengharaman "musoharoh" di sisi jumhur ulamak. Oleh itu dia tidak boleh menjadi wali kepada anak luar nikahnya. Tetapi terdapat beberapa penyelesaian dalam masalah ini:


1- Sekiranya yang menikahkan wanita tadi adalah jurunikah yang dilantik oleh pemerintah, maka pernikahan tersebut sah kerana jurunikah mempunyai "wilayah amm" kerana dia menggantikan tugasan  qodhi atau hakim yang menjadi wali bagi siapa yang tidak mempunyai wali.


2-Sekiranya yang menikahkan anaknya itu ayah itu sendiri, maka boleh digunapakai pendapat mazhab Al-Hanafiyah bahawa bagi wanita yang tidak mempunyai wali dari sebelah ayahnya, maka ibunya boleh menjadi wali pernikahannya dan seolah-oleh ibunya mewakilkan suaminya untuk mengakad nikah dan pernikahan tersebut sah. Pendapat ini lebih sesuai digunakan supaya aib keluarga tidak tersebar dan akan mendatang pelbagai mafsadah kepada pasangan tersebut.


Adapun di sisi undang-undang, sekiranya anak tersebut diakui adalah anak kepada ayahnya dan termaktub di dalam sijil kelahiran, maka tiada apa2 kemushkilan di dalam akad nikah. Kerana undang-undang menghukum secara zahir, tidak pada batin sesuatu. Wallah alam...


Darul Ifta, 12:17 AM 14/7/2011

Thursday, 7 July 2011

Punca kegagalan parti-parti islam mencapai kemenangan sejak sekian lama.

         Fahamilah Kehendak Islam dari Sebuah "Daulah Islamiyah"


         


          Rumusan ini adalah hasil dari penelitian  yang  difahami dari subjek “NIZOM HUKUM FIL ISLAM” yang diajarkan oleh Al-Fadil Dr Syuaish Al-Mahamid. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan rumusan ini, tetapi saya sebagai seorang yang “neutral” melihat di sana dan di sini tanpa dipengaruhi dari pemikiran mana-mana parti inilah yang terzahir pada masyarakat awam….

-Parti  islam hanya berjaya menonjolkan bahawa daulah islamiyah yang ingin dibentuk adalah daulah hudud, asas ini yang diperjuangkan di setiap kata-kata dan slogan ahli parti,  iaitu sebuah Negara yang menegakkan hukum hudud, negara yang memotong tangan pencuri, merejam dan menyebat penzina dan memenggal kepala pembunuh. Inilah yang menyebabkan masyarakat takut dengan islam dan mungkin orang yang zahirnya begitu menyokong parti islam tetapi hakikatnya berbeza ketika mengundi dalam pilihanraya. Sedangkan hudud hanyalah sebahagian kecil dari sistem pentadbiran islam dan bukanlah hudud itu asas di dalam pembentukan sebuah Negara islam.

Asas-asas yang perlu ditonjolkan dan ditanamkan di dalam pimikiran masyarakat bahawa Negara islam adalah :

1-PERSAMAAN  DAN KEADILAN
- Negara islam adalah sebuah Negara yang menyamakan di antara orang kaya dan miskin, raja dan pemerintah di dalam setiap keputusan dan penghakiman. Iaitu keadilan tanpa melihat martabat dan darjat sepertimana yang ketegasan yang ditunjukkan baginda s.a.w:

-Seorang wanita Al-Makhzumiyah telah ditangkap kerana mencuri, maka salah seorang dari ahli keluarganya berkata: Siapakah yang boleh meminta pengampunan dari rasulullah s.a.w? mereka berkata: Tiada seorangpun yang lebih dicintai oleh Rasulullah s.a.w melainkan Zaid Bin Uthamah, maka beliau pun pergi menemui Rasulullah s.a.w. Lalu Baginda s.a.w bersabda: “ Adakah kamu hendak meminta syafaat di dalam ketetapan Allah?!  Lalu baginda s.a.w bangun dan berkhutbah : “ Sesungguhnya yang telah menghancurkan orang-orang sebelum kamu ialah kerana apabila seorang yang dihormati mencuri mereka melepaskannya, dan jika seorang yang lemah mencuri mereka menghukumnya. Demi Allah! Sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri pasti akan aku potong tangannya!!
-Diriwayatkan oleh AlBukhari no:6788 dan Muslim no:4505.

2-KEAMANAN DAN KESEJAHTERAAN
-  Negara islam adalah sebuah Negara yang akan membentuk sebuah masyarakat yang baik dari segi akhlak, kesatuan, saling hormat menghormati, bebas jenayah   serta keadilan samada sesama masyarakat, pemerintah dan rakyat , ataupun  Negara dengan Negara-negara luar. Ia dicapai dengan menggunakan segala wasilah dan kaedah yang ada, dan hudud termasuk di dalam kaedah-kaedah yang digunakan. Banyak dalil-dalil dari al-Quran yang menyeru kepada matlamat ini seperti:
  • “Bantu membantulah di dalam kebaikan dan ketaatan”
  • “Hendaklah kamu beserta jemaah, dan jauhilah berpecah” At-Tirmizi-Sanad Sohih
  • “Bukanlah di dalam golongan kami siapa yang tidak mengasihi yang muda dan tidak menghormati yang tua” At-tirmizi-Sanad sohih.
-banyak lagi ayat dan hadis yang menunjukkan asas sebuah Negara islam yang diajarkan oleh baginda s.a.w kepada kita.

3-KETENTERAAN DAN PERTAHANAN
 - Negara islam adalah sebuah Negara yang sentiasa mempertingkatkan kemampuan ketenteraan dan kelengkapan peperangan dari pelbagai sumber teknologi moden bagi menghadapi musuh.

Firman Allah:" Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh Yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan Yang dapat kamu sediakan dari pasukan-pasukan berkuda Yang lengkap sedia, untuk kamu menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu". Al-Anfal: 60

Sabda Baginda s.a.w: “Seorang mukmin yang kuat itu lebih disukai oleh Allah dari mukmin yang lemah” 
Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban-Hadis Hassan.

4- PENDIDIKKAN DAN TEKNOLOGI
 - Negara islam adalah sebuah Negara yang melahirkan masyarakat yang cerdik, berfikiran jauh dan terkehadapan dalam menerokai ilmu pengetahuan menerusi pelbagai penyelidikkan, penciptaan dan pembaharuan.

Buktinya, ayat yang mula sekali diturunkan ialah “Iqra” . Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),
 dan selepas itu Allah berfirman lagi: “Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,  Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan”  . Allah menyebut "pena" dan "tulisan" kerana hendak menunjukkan kedua-duanya adalah asas seorang muslim.

-Nabi s.a.w menyuruh seorang sahabatnya untuk mempelajari bahasa Yahudi agar umat islam tidak tertipu dengan helah Yahudi.

-Ketika perang Ahzab, nabi s.a.w mempelajari teknik peperangan Farsi dari Salman Al-Farisi iaitu teknik mengorek lubang yang dalam bagi menahan kemaraan musuh.

-Ayat-ayat yang mengandungi I’jaz ilmu(Mukjizat pengetahuan)  yang menuntut agar umat islam mengkaji dan menerokai kejadian alam contohnya: ayat yang menerangkan rahim ibu mempunyai tiga lapisan, ayat yang menerangkan apabila semakin tinggi udara semakin menipis, ayat yang menerangkan pertembungan dua laut yang tidak bercampur, ayat yang menerangkan khasiat dan keajaiban madu lebah serta pelbagai lagi ayat yang menuntut umat islam mengkaji dan mengembangkan ilmu-ilmu ini.

5-EKONOMI DAN PEMBANGGUNAN
 -  Negara islam adalah sebuah Negara yang sentiasa menjana ekonomi kukuh dan stabil dan bergerak maju kehadapan menerusi pembanggunan yang strategik dan interaktif.  Ini dibuktikan dengan:

-Nabi s.a.w menyuruh umat islam Madinah membina pasar untuk umat islam agar tidak perlu lagi berniaga di pasar Yahudi.

-Pengutipan zakat dari umat islam dan cukai dari yahudi.

-Nabi menyuruh seorang sahabat yang kaya membeli telaga “bi’rul maunah” dari yahudi agar ia menjadi punca air kepada umat islam.

-Terdapat bancian yang lengkap jumlah penduduk islam Madinah dan yahudi yang tinggal disekitarnya.

-mewujudkan Baitulmaal sebagai gudang penyimpanan harta Negara dan terdapat catatan yang lengkap jumlah harta Negara.

-Dan pelbagai lagi kejayaan ekonomi dan pembanggunan yang dicapai umat islam terdahulu.

             Maka  Negara islam haruslah digambarkan sebagai pembentukkan sebuah Negara yang maju, stabil dan terkedepan dari pelbagai segi. Sekiranya ini yang digambarkan sebagai sebuah negara islam, maka pasti tiada golongan non muslim yang akan menentang pembentukan sebuah negara islam, bahkan merekalah yang akan membantu mencapai matlamat ini. Dan dengan memahamkan masyarakat konsep sebenar “Daulah Islamiyah” barulah umat islam yakin dengan kemampuan sebuah negara islam yang syumul, bukan sekadar negara hudud yang mundur,miskin dan lemah…Wallaha’lam….

Oleh: Mohammad Amir Wan harun.
Pengkhususan Fiqh Wa Usuluhu,
University Of Mu'tah.

Tuesday, 5 July 2011

"BERSIH" dari penelitian Al-Quran dan Sunnah

                                        




بسم الله الرحمن الرحيم                                                                                               
             Di atas pertanyaan sahabat-sahabat serta keadaan yang berlaku kini yang menuntut kepada suatu jawapan, maka kami akan menghuraikan pandangan islam berlandaskan Al-quran dan sunnah berkenaan perhimpunan “BERSIH”.

            Di antara pertanyaan yang ditanyakan kepada kami:

  -Boleh tak diterangkan apa maksud tersirat ayat ni?
“ Dan adakah perhimpunan “bersih” termasuk di kalangan mereka yang keluar dari ketaatan kepada pemimpin” berdasarkan kata-kata Imam Nawawi:

“Adapun keluar dari ketaatan terhadap pemimpin      (penguasa)      serta memerangi (atau membangkang) mereka, maka hukumnya adalah haram berdasarkan kesepakatan (ijma’) umat Islam, walaupun pemimpin tersebut bersifat zalim lagi fasiq.”
(Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229. Turut disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari)
            Kami akan menyenaraikan dalil-dalil yang mengharamkan “Bersih” kemudian dalil-dalil yang mengharuskan, seterusnya kami akan merojihkan setelah kami perbahaskan dalil-dalil tersebut. Tetapi sebelum itu haruslah diketahui apakah tuntutan "BERSIH"

Lapan (8) Tuntutan BERS✔H 2.0:

1. Membersihkan senarai daftar pengundi
2. Mereformasikan undi pos
3. Penggunaan dakwat kekal
4. Akses media bebas dan adil
5. Tempoh minimum 21 hari berkempen
6. Kukuhkan institusi awam
7. Menghentikan rasuah
8. Menghentikan politik kotor


 

Pendapat yang mengharamkan “BERSIH”.

1-Firman Allah Taala:

“Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu”.
 An-Nisa’: 59

-Perhimpunan bersih tidak dibenarkan oleh kerajaan, maka hukumnya haram kerana melanggar arahan pemerintah.

2- Sabda baginda s.a.w :
باب قَوْلِ اللهِ تَعَالَى : {أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ}.
7137- حَدَّثَنَا عَبْدَانُ ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللهِ عَنْ يُونُسَ ، عَنِ الزُّهْرِيِّ ، أَخْبَرَنِي أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ : مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ ، وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ ، وَمَنْ أَطَاعَ أَمِيرِي فَقَدْ أَطَاعَنِي ، وَمَنْ عَصَى أَمِيرِي فَقَدْ عَصَانِي.

             Bab Firman Allah Taala: “Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul dan kepada pemimpin di kalangan kamu”

              Sabda baginda s.a.w: “Siapa taat kepadaku maka dia mentaati Allah, dan siapa yang mengingkariku maka dia mengingkari Allah, dan siapa yang taat kepada pemimpinku  maka dia mentaatiku, dan siapa yang mengingkari pemimpinku maka dia mengingkariku”
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari no hadis:7137

-Perhimpunan bersih termasuk di dalam mengingkari arahan ketua Negara, maka dia mengingkari Allah dan rasulnya.

3- Perhimpunan bersih akan menyusahkan pelbagai pihak, merosakkan harta benda,serta menyebabkan kemudhoratan dan kemusnahan kepada Negara, maka ia adalah diharamkan di dalam islam berdasarkan banyakkan ayat serta hadis yang menuntut menjaga keamanan dan kesejahteraan masyarakat dan Negara.

4-“Adapun keluar dari ketaatan terhadap pemimpin (penguasa) serta memerangi (atau membangkang) mereka, maka hukumnya adalah haram berdasarkan kesepakatan (ijma’) umat Islam, walaupun pemimpin tersebut bersifat zalim lagi fasiq.” (Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229. Turut disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari)

Pendapat yang mengharuskan “BERSIH”

1- “Bersih” bukanlah untuk memerangi kerajaan, tetapi ia menuntut agar mengembalikan keadilan pilihanraya kepada rakyat. Ia selaras dengan firman Allah Taala:

“Dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka Dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil”
Al-Maidah : 42

“Dan hendaklah Engkau menjalankan hukum di antara mereka Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah”.
Al-maidah : 49

-Menghukum dengan apa yang telah diturunkan adalah menghukum dengan adil dan tidak menzalimi rakyat.

2-
أن النبي صلى الله عليه و سلم قال إن من أعظم الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر
قال الشيخ الألباني : صحيح

         Sabda baginda s.a.w: "Jihad yang paling agung ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim". 
Diriwayatkan oleh At-Tirmizi dengan sanad sohih, no hadis:2174

-Maka perhimpunan bersih adalah untuk menyuarakan suara rakyat yang menuntut keadilan dan ia adalah dipuji oleh baginda s.a.w.

3-Kaedah fiqh menyebut:

“التصرف على الرعية منوط بالمصلحة”

-Maknanya: Perlakuan seorang pemimpin terhadap rakyatnya adalah berdasarkan manfaat. 

-Iaitu setiap keputusan pemimpin terhadap rakyatnya wajib diikuti selagimana ia memberi manfaat kepada rakyat. Mereka yang menghalang “Bersih” bukanlah kerana ia akan menghuru-harakan Negara, tetapi kerana mereka takut kehilangan sokongan rakyat di atas kezaliman yang telah dilakukan dan ingin terus berkuasa.

4-Sistem pemilihan pemimpin yang diamalkan di Malaysia ialah demokrasi iaitu mengikut pilihan rakyat, maka menghalang sistem ini dijalankan dengan telus adalah suatu kezaliman. Maka “BERSIH” adalah usaha untuk menghapuskan kezaliman ini dan mengembalikannya mengikut sistem asal yang telus dan suci.

Setelah diteliti dalil-dalil kedua-dua pendapat, kami merojihkan bahawa “Bersih” adalah diharuskan dan ia selari dengan tuntutan Al-Quran dan Sunnah. Kami akan menjawab dalil yang mengharuskannya seperti berikut:

1-Ayat Al-Quran yang menuntut taat kepada pemerintah adalah umum, maka haruslah diteliti pemimpin yang bagaimanakah yang dimaksudkan oleh Allah di dalam firmannya?

            Jika dilihat, lafaz “ulil amri” adalah sebaris dengan lafaz taat kepada Allah dan rasul, maka dapat difahami, “ulil amri” yang dimaksudkan oleh Al-Quran adalah pemimpin yang menghukum dengan ajaran Al-quran dan sunnah, jika tidak mengapa ia disebut sebaris dengan Allah dan Rasul??

2-Hadis “siapa yang mengingkari pemimpinku, maka dia mengingkariku”

-Lafaz hadis ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin yang wajib ditaati adalah pemimpin yang memerintah dengan adil sepertimana baginda s.a.w memerintah, kerana itu baginda s.a.w menyebut “Pemimpinku” iaitu orang yang mengikuti ajaranku dalam pemerintahannya.

3-Dalil ketiga yang disebutkan mengkaitkan dengan keburukan dan kerosakan yang akan timbul dengan perhimpunan ini, dalil ini juga tidak tepat kerana tidak bijak kita menghalang air dari mengalir ke ladang-ladang kerana terdapat sampah sarap di dalam saliran, sepatutnya sampah saraplah yang harus dibuang agar air dapat mengalir dengan lancar dan menyuburi tanam-tanaman. Oleh itu perhimpunan “bersih” adalah perhimpunan aman suara rakyat yang menunut keadilan diberikan mereka dengan cara yang baik, maka setiap provokasi yang boleh mencetuskan huru-hara haruslah ditangani dan dihapuskan agar ia dapat menghasilkan natijah yang baik kepada rakyat.

4-Kata-kata Imam An-Nawawi bahawa diwajibkan  mentaati pemerintah walaupun dia zalim dan diharamkan memeranginya. Kata-kata ini bermaksud: Hendaklah mentaati pemerintah walaupun  zalim selagimana arahan tersebut tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah kerana baginda s.a.w bersabda:

فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ عَلَيْهِ وَلاَ طَاعَةَ

“Sekiranya kamu diperintah atas maksiat, tiada didengar perintahnya dan tiada ketaatan terhadapnya” Diriwayatkan oleh At-tirmizi dan beliau mengatakan :Hasan Sohih.

4-Perhimpunan “bersih” bukanlah suatu penentangan atau peperangan atau “bugho” keluar dari pemerintahan  kerajaan, bahkan ia suatu cara untuk menyampaikan keadilan di dalam pilihanraya dan mengembalikan pemerintahan kepada sebuah pemerintahan yang adil dan saksama selaras dengan tuntutan syara’

          Imam Malik pernah mengeluarkan hukum bahawa tidak jatuh talak yang dipaksa dimana beliau berfatwa sedemikian adalah untuk membatalkan baiah dengan cerai yang dilakukan Khalifah Ja’far untuk mengekalkan kedudukannya sebagai khalifah, oleh itu beliau telah disebat sehingga pecah betisnya,adakah beliau seorang “bugho” penentang kerajaan?? Adakah beliau berdosa berkata yang benar terhadap kerajaan??

           Begitu juga Imam Ahmad bin Hanbal mempertahankan bahawa Al-Quran adalah “kalamullah” dan bukannya makhluk seperti yang diitikad oleh kerajaan yang dikuasai oleh fahaman Muktazilah ketika itu dan akhirnya beliau dipenjara, adakah beliau juga penetang kerajaan?? Adakah perbuatan beliau juga dikira berdosa kerana tidak taat pemerintah??

             Ramai lagi ulamak-ulamak islam yang ditangkap dan dipenjarakan kerana kebenaran mereka cuba sampaikan kepada pemerintah.

            Oleh itu, hukum perhimpunan “Bersih” adalah diharuskan oleh islam dan hendaklah pengajur melakukan pelbagai kaedah agar ia berjalan dengan baik dan teratur. Bahkan berdosalah sesiapa yang menghalang perhimpunan ini atau cuba membuat provokasi yang boleh menimbulkan kerosakan atau huru-hara semasa perhimpunan. Wallaha’lam…..


Sunday, 3 July 2011

Pengharaman Skim downline Infinity



بسم الله الرحمن الرحيم                    
  Hasil dari Perbahasan Muamalat muasoroh anjuran Darul Ifta’ baru-baru ini berkenaan skim “Downline infnity” yang diadakan di (PUSKMA) baru-baru ini, di simpulkan dua hukum yang berbeza dan telah dirajihkan bahawa ia adalah haram di sisi Islam berdasarkan Al-quran dan hadis serta banyaknya kerosakkan kepada umat islam.

Kami akan menyenaraikan pendapat serta dalil yang mengharuskannya dan selepas itu kami akan menolak dalil-dalil mereka dengan dalil yang sohih dan tepat


 
Pendapat yang mengharuskan skim downline infinity:

1- Skim ini dibina atas dasar (Tabarru’) pemberian dan (hibah) hadiah. Iaitu downline akan memberi RM100 (yuran keahlian) kepada uplinenya(penaja) atas dasar sedekah atau hadiah. Maka downline tadi akan menerima pula sedekah dan hadiah dari downline-downline di bawahnya atas dasar Tabarru’ juga.
-Tabarru’ adalah digalakkan dalam islam dan ia adalah salah satu bentuk sifat bantu membantu yang digalakan oleh islam .
Firman Allah Taala:

(وتعاونوا على البر والتقوى)
“Salinglah bantu membantu dalam kebaikan dan ketaatan”

Sabda Baginda s.a.w:

(وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا).
Satu kebaikan dibalas sepuluh seumpamanya)
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari: No 1894

- Oleh kerana ia adalah tabarru’, maka tidak disyaratkan perlu mengetahui latar belakang syaikat dan web kerana seorang yang bersedekah tidak disyaratkan untuk mengetahui kepada siapakah dia bersedekah, samalah seperti seorang yang mewakilkan kepada seseorang untuk menyampaikan sedekahnya. Bahkan skim download infinity bukanlah bersedekah kepada syarikat, tetapi bersedekah kepada uplinenya, maka ketiadaan maklumat berkenaan syarikat tidak merosakkan akad tabarru’ tersebut dan ia tidak mengandungi unsur ghoror(ketidakpastian).


- Terdapat hujah mengatakan skim ini bukan tabarru kerana apabila tidak memberikan RM100 kepada uplinenya pada bulan berikut, dia akan terkeluar dari skim dan tidak berhak mendapat apa-apa dari downlinenya, maka dia telah rugi. Hujah ini tidak tepat kerana tidak timbul isu rugi atau untung, kerana mereka bukan berjual beli tetapi bersedekah, maka siapa yang tidak mahu bersedekah kepada uplinenya tidak berhak mendapat sedekah dari downline di bawahnya,Al-Quran menyebut:

- (وجزاء سيئة سيئة مثلها)
“Dan balasan buruk itu dibalas dengan buruk seumpamanya”


Oleh itu dapat difahami dari ayat ini, balasan baik juga akan dibalas dengan kebaikan. ia adalah pilihan dari dirinya sendiri dan tiada paksaan dalam memberi.


2-Produk-produk yang ditawarkan untuk didownload adalah atas dasar (mukafaah) balasan pada kebaikan dan bukannya sebagai tukaran Rm100 yang diberinya, Sabda Baginda s.a.w:

(وَمَنْ آتَى إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ)

“Siapa yang membuat kebaikan kepadamu, maka balasilah dia”
Diriwayatkan oleh Abu Daud No: 5111


Apabila downline bersedekah kepada upline, maka upline membalas kebaikan itu dengan membenarkanya untuk mendownload ratusan e-book, audio dan video traning yang terdapat di web rasmi. Maka ia adalah selaras dengan tuntutan islam berdasarkan hadis diatas.


-Maka tidak timbullah isu bahawa produk-produk ini bukan matlamat dari akad tetapi duit. Kerana upline dan downline saling bersedekah diantara satu sama lain, dan apa yang diberi itu samada dia memerlukannya atau tidak bukan suatu yang perlu dipertikaikan.


3-Pendapat yang mengatakan ia adalah haram berdalilkan bahawa skim ini terdapt riba dan judi. Dalil ini tidak tepat dan tidak kena pada tempatnya.

Terjadi judi apabila sekumpulan orang mempertaruhkan duitnya, maka salah seorang akan menang dan mendapat keuntungan manakala yang lain akan rugi, jadi dimanakah unsur judi pada skim ini?? Dalam skim ini siapa yang berusaha mencari orang untuk bersedekah pada dia, dia akan dapat. Siapa yang tidak berusaha dia tidak dapat.Bahkan tiada wang yang dipertaruhkan, Rm100 yang diberikan adalah sebagai sedekah kepada upline,bukannya duit taruhan. Jadi atas dasar apa seseorang itu rugi ?? Samalah seperti dua orang yang meminta sedekah, seorang diberikan duit dan seorang tidak diberikan, adakah orang yang tidak diberikan itu rugi? Dia hanya tidak mendapat sedekah tetapi dia tidak rugi apa-apa.

Riba pula terjadi apabila dua orang saling menukar barang-barang yang sama yang termasuk dalam jenis riba dan salah satunya lebih dari yang satu lagi(riba fadl) atau saling menukar barang yang sama dan salah satunya diserahkan lambat(riba nasiah)

Baginda s.a.w bersabda dalam masalah menjual perak dengan perak :

(ا كَانَ يَدًا بِيَدٍ فَلاَ بَأْسَ بِهِ وَمَا كَانَ نَسِيئَةً فَهُوَ رِبًا )
“Sekiranya diserahkan tangan ke tangan(iaitu diserahkan dalam majlis akad) tidak mengapa, jika lambat diserahkan salah satunya maka ia menjadi riba”
Diriwayatkan oleh Muslim, no hadis: 1455


Hadis ini jelas baginda menyatakan riba itu berlaku dalam pertukaran yang melibatkan 2 tangan(orang) sahaja, ini boleh dilihat pada lafaz “يدابيد” –Tangan dengan tangan. Adapun dalam skim ini melibatkan tiga pihak, iaitu duitnya diberikan kepada upline dan dia menerima duit dari downline, syarikat hanyalah perantara untuk menyusun system pemberian duit sahaja.


Memberikan duit kepada seseorang dengan mengharap orang lain memberikan kepada kita duit bukanlah riba. Dan riba itu diharamkan kerana terdapat kezaliman pada salah seorang yang berakad, adapun dengan mengharap orang lain memberikan kita duit dimanakah kezaliman???


4- Pendapat yang mengharamkan juga menyebut bahawa skim ini terdapat penipuan padanya kerana setelah diteliti barulah menyedari bahawa RM100 haruslah dibayar setiap tahun,maka skim ini mempunyai unsur penipuan yang diharamkan dalam islam. Dalil ini juga tidak tepat, kerana pengharaman hanyalah kepada individu yang melakukan penipuan, adapun sifat skim ini adalah harus, maka yang diharamkan adalah penipuan yang dilakukan oleh individu yang mempromosikan skim ini, bukannya skim ini yang diharamkan.


5-Pendapat yang mengharamkan juga menyebut bahawa pengharusan skim ini akan menyebabkan kemudhoratan kepada Negara kerana orang tidak akan bekerja dan ekonomi akan lumpuh.
-Kemudhoratan ini tidak hakikat, bahkan ia hanyalah teori semata-mata kerana kajian yang dilakukan mendapati kebanyakkan orang yang mentertai skim ini tetap meneruskan kerja mereka seperti biasa, pendapatan yang diperolehi dari skim ini hanyalah pendapatan tambahan sahaja. Wallahalam...



Pendapat yang mengharamkan “downline infinity” berdalilkan bahawa:

1-Diharamkan meminta kepada manusia untuk menambahkan harta, Sabda Baginda s.a.w:

(عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « مَنْ سَأَلَ النَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ)

“Dari Abu Hurairah r.a berkata: Baginda s.a.w bersabda: Sesiapa yang meminta kepada manusia kerana hendak memperbanyakkan hartanya, maka dia meminta bara api, maka terpulang padanya samada hendak sedikit atau banyak
-Diriwayatkan oleh Muslim , no hadis: 2446.

-Ulamak-ulamak usul mengatakan bahawa ancaman yang disertai azab menunjukkan perbuatan tersebut adalah haram. Skim downline infinity adalah suatu system meminta sedekah untuk memperbanyakkan harta mereka dan ia termasuk dibawah ancaman yang baginda s.a.w sabdakan.

2- Pendapat yang mengharuskan, mengatakan skim ini berdasarkan akad Tabarru’, akan tetapi skim ini menyimpang dari matlamat dan tujuan disyariatkan tabarru’ iaitu untuk saling berkasih sayang, sabda baginda s.a.w:

(تهادوا فإن الهدية تذهب وغر الصدر)

“Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerana hadiah menhilangkan kebencian hati”
Diriwayatkan oleh Ahmad bin Hanbal di dalam musnadnya, Sanad lemah, tetapi makna hadis adalah sohih


(تهادوا فإن الهدية تذهب وغر الصدر)
“Salinglah memberi hadiah, nescaya kamu akan berkasih sayang”
Diriwayatkan oleh Al-bukhari di dalam kitab Adab Al-mufrad- Hadis Hassan.NO hadis: 594

Adapun system downline infinity yang menghilangkan hak ahlinya jika tidak memberi Rm100 setiap kepada downline akan menimbulkan kebencian, ia bertentangan dengan maksud syara’ dalam mensyariatkan tabarru’.

2- Ini adalah sebuah system yang mengeksploitasi manusia kerana Sistem downline infinity yang menuntut kepada pesertanya membayar RM100 setiap bulan kepada upline, jika gagal mereka akan hilang kesemua downline., dan ia adalah haram di sisi Syara’ berdasarkan hadis:

« مَنِ احْتَكَرَ فَهُوَ خَاطِئٌ »

“sesiapa yang mengeksploitasi adalah berdosa”
- Diriwayatkan oleh Muslim. No hadis: 4206

3- Skim Downline Infinity ini akan menyebabkan kerosakan kepada individu, masyarakat dan Negara.

Kerosakan pada individu: Apabila duduk dirumah boleh mendapat beribu-ribu, akan lahirlah umat yang malas bekerja,lemah dan tidak aktif untuk berusaha mencari rezeki. Sabda baginda s.a.w:

مَا أَكَلَ أَحَدٌ مِنْ بَنِيْ آدَمَ طَعَامًا خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ إِنَّ نَبِيَّ اللهِ دَاوُدَ عَلَيْهِ السلام كَانَ يَأْكُلُ مِنْ كَسْبِ يَدِهِ.


“Tidak ada makanan yang lebih baik dimakan oleh anak adam dari apa yang dia melalui usaha tangannya, sesungguhnya nabi Allah Daud a.s memakan dari usaha tangannya sendiri”
-Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Ibrahim bin Musa- Kitab Al-Arbauun As-Sughra oleh Ahmad bin Al-Husain bin Ali Al-Baihaqi. m/s: 102

Kerosakkan pada masyarakat: Masyarakat akan bergaduh dan berpecah belah akibat dari eksploitasi upline terhadap downline.

Kerosakan kepada Negara: Apabila lahir masyarakat yang malas bekerja, maka pengeluaran Negara akan menurun sedikit demi sedikit dan seterusnya meruntuhkan ekonomi.

-Adapun pendapat yang mengharuskan dengan mengatakan mudhorat yang berlaku tidak hakikat kerana ramai yang masih bekerja dan pendapatan dari skim ini hanyalah sebagai tambahan.

Kami katakan: Mereka hanya bertanyakan kepada downline-downline yang berada di bawah yang baru memperolehi sedikit keuntungan, sekiranya seseorang itu boleh menjana lebih dari Rm5000 sebulan goyang kaki di rumah dengan skim ini, apa perlunya mereka berpenat lelah bekerja 8jam sehari untuk gaji yang Rm1000-Rm2000?? Maka pengharaman diperingkat bawah adalah sebagai (Saddu Azzariah) mencegah sebelum berlaku kemusnahan dan kemudhoratan yang besar pada umat islam.


Maka dengan himpunan dalil-dalil dari Al-Quran dan sunnah dan timbah pula dengan kemudhoratan yang akan berlaku kepada umat islam, skim downline infinity adalah diharamkan untuk disertai, dipromosi dan sebagainya. Wallaha’lam.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons