Fahamilah Kehendak Islam dari Sebuah "Daulah Islamiyah"
Rumusan ini adalah hasil dari penelitian yang difahami dari subjek “NIZOM HUKUM FIL ISLAM” yang diajarkan oleh Al-Fadil Dr Syuaish Al-Mahamid. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan rumusan ini, tetapi saya sebagai seorang yang “neutral” melihat di sana dan di sini tanpa dipengaruhi dari pemikiran mana-mana parti inilah yang terzahir pada masyarakat awam….
-Parti islam hanya berjaya menonjolkan bahawa daulah islamiyah yang ingin dibentuk adalah daulah hudud, asas ini yang diperjuangkan di setiap kata-kata dan slogan ahli parti, iaitu sebuah Negara yang menegakkan hukum hudud, negara yang memotong tangan pencuri, merejam dan menyebat penzina dan memenggal kepala pembunuh. Inilah yang menyebabkan masyarakat takut dengan islam dan mungkin orang yang zahirnya begitu menyokong parti islam tetapi hakikatnya berbeza ketika mengundi dalam pilihanraya. Sedangkan hudud hanyalah sebahagian kecil dari sistem pentadbiran islam dan bukanlah hudud itu asas di dalam pembentukan sebuah Negara islam.
Asas-asas yang perlu ditonjolkan dan ditanamkan di dalam pimikiran masyarakat bahawa Negara islam adalah :
1-PERSAMAAN DAN KEADILAN
- Negara islam adalah sebuah Negara yang menyamakan di antara orang kaya dan miskin, raja dan pemerintah di dalam setiap keputusan dan penghakiman. Iaitu keadilan tanpa melihat martabat dan darjat sepertimana yang ketegasan yang ditunjukkan baginda s.a.w:
-Seorang wanita Al-Makhzumiyah telah ditangkap kerana mencuri, maka salah seorang dari ahli keluarganya berkata: Siapakah yang boleh meminta pengampunan dari rasulullah s.a.w? mereka berkata: Tiada seorangpun yang lebih dicintai oleh Rasulullah s.a.w melainkan Zaid Bin Uthamah, maka beliau pun pergi menemui Rasulullah s.a.w. Lalu Baginda s.a.w bersabda: “ Adakah kamu hendak meminta syafaat di dalam ketetapan Allah?! Lalu baginda s.a.w bangun dan berkhutbah : “ Sesungguhnya yang telah menghancurkan orang-orang sebelum kamu ialah kerana apabila seorang yang dihormati mencuri mereka melepaskannya, dan jika seorang yang lemah mencuri mereka menghukumnya. Demi Allah! Sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri pasti akan aku potong tangannya!!
-Diriwayatkan oleh AlBukhari no:6788 dan Muslim no:4505.
2-KEAMANAN DAN KESEJAHTERAAN
- Negara islam adalah sebuah Negara yang akan membentuk sebuah masyarakat yang baik dari segi akhlak, kesatuan, saling hormat menghormati, bebas jenayah serta keadilan samada sesama masyarakat, pemerintah dan rakyat , ataupun Negara dengan Negara-negara luar. Ia dicapai dengan menggunakan segala wasilah dan kaedah yang ada, dan hudud termasuk di dalam kaedah-kaedah yang digunakan. Banyak dalil-dalil dari al-Quran yang menyeru kepada matlamat ini seperti:
- “Bantu membantulah di dalam kebaikan dan ketaatan”
- “Hendaklah kamu beserta jemaah, dan jauhilah berpecah” At-Tirmizi-Sanad Sohih
- “Bukanlah di dalam golongan kami siapa yang tidak mengasihi yang muda dan tidak menghormati yang tua” At-tirmizi-Sanad sohih.
-banyak lagi ayat dan hadis yang menunjukkan asas sebuah Negara islam yang diajarkan oleh baginda s.a.w kepada kita.
3-KETENTERAAN DAN PERTAHANAN
- Negara islam adalah sebuah Negara yang sentiasa mempertingkatkan kemampuan ketenteraan dan kelengkapan peperangan dari pelbagai sumber teknologi moden bagi menghadapi musuh.
Firman Allah:" Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh Yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan Yang dapat kamu sediakan dari pasukan-pasukan berkuda Yang lengkap sedia, untuk kamu menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu". Al-Anfal: 60
Sabda Baginda s.a.w: “Seorang mukmin yang kuat itu lebih disukai oleh Allah dari mukmin yang lemah”
Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban-Hadis Hassan.
4- PENDIDIKKAN DAN TEKNOLOGI
- Negara islam adalah sebuah Negara yang melahirkan masyarakat yang cerdik, berfikiran jauh dan terkehadapan dalam menerokai ilmu pengetahuan menerusi pelbagai penyelidikkan, penciptaan dan pembaharuan.
Buktinya, ayat yang mula sekali diturunkan ialah “Iqra” . Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),
dan selepas itu Allah berfirman lagi: “Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan” . Allah menyebut "pena" dan "tulisan" kerana hendak menunjukkan kedua-duanya adalah asas seorang muslim.
-Nabi s.a.w menyuruh seorang sahabatnya untuk mempelajari bahasa Yahudi agar umat islam tidak tertipu dengan helah Yahudi.
-Ketika perang Ahzab, nabi s.a.w mempelajari teknik peperangan Farsi dari Salman Al-Farisi iaitu teknik mengorek lubang yang dalam bagi menahan kemaraan musuh.
-Ayat-ayat yang mengandungi I’jaz ilmu(Mukjizat pengetahuan) yang menuntut agar umat islam mengkaji dan menerokai kejadian alam contohnya: ayat yang menerangkan rahim ibu mempunyai tiga lapisan, ayat yang menerangkan apabila semakin tinggi udara semakin menipis, ayat yang menerangkan pertembungan dua laut yang tidak bercampur, ayat yang menerangkan khasiat dan keajaiban madu lebah serta pelbagai lagi ayat yang menuntut umat islam mengkaji dan mengembangkan ilmu-ilmu ini.
5-EKONOMI DAN PEMBANGGUNAN
- Negara islam adalah sebuah Negara yang sentiasa menjana ekonomi kukuh dan stabil dan bergerak maju kehadapan menerusi pembanggunan yang strategik dan interaktif. Ini dibuktikan dengan:
-Nabi s.a.w menyuruh umat islam Madinah membina pasar untuk umat islam agar tidak perlu lagi berniaga di pasar Yahudi.
-Pengutipan zakat dari umat islam dan cukai dari yahudi.
-Nabi menyuruh seorang sahabat yang kaya membeli telaga “bi’rul maunah” dari yahudi agar ia menjadi punca air kepada umat islam.
-Terdapat bancian yang lengkap jumlah penduduk islam Madinah dan yahudi yang tinggal disekitarnya.
-mewujudkan Baitulmaal sebagai gudang penyimpanan harta Negara dan terdapat catatan yang lengkap jumlah harta Negara.
-Dan pelbagai lagi kejayaan ekonomi dan pembanggunan yang dicapai umat islam terdahulu.
Maka Negara islam haruslah digambarkan sebagai pembentukkan sebuah Negara yang maju, stabil dan terkedepan dari pelbagai segi. Sekiranya ini yang digambarkan sebagai sebuah negara islam, maka pasti tiada golongan non muslim yang akan menentang pembentukan sebuah negara islam, bahkan merekalah yang akan membantu mencapai matlamat ini. Dan dengan memahamkan masyarakat konsep sebenar “Daulah Islamiyah” barulah umat islam yakin dengan kemampuan sebuah negara islam yang syumul, bukan sekadar negara hudud yang mundur,miskin dan lemah…Wallaha’lam….
Oleh: Mohammad Amir Wan harun.
Pengkhususan Fiqh Wa Usuluhu,
University Of Mu'tah.
0 comments:
Post a Comment