بسم الله الرحمن الرحيم
Permasalahan Fiqh Berkaitan Ramadhan
(Fasal 1: Khilaf fuqaha' bermusafir ketika ramadhan)
Segala puji dan syukur ke hadrat Ilahi Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat Baginda s.a.w.
Ramadhan yang bakal tiba dengan izinNya hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Bulan di mana setiap Muslim itu diperintahkan berpuasa sebulan, dengan seribu hikmah dan kemaslahatan tersirat, yang padanya ditawarkan ganjaran yang berlipat kali ganda. Pendek kata setiap Muslim yang sejati pasti ternanti-nanti dan menghitung hari menantikan bulan Maghfirah, Barakah wa Rahmah ini.
Sebagaimana seorang tuan rumah perlu membuat persiapan dan memberi layanan yang terbaik kepada tetamunya, begitu jugalah setiap umat Islam perlu melengkapkan diri dari pelbagai aspek samada rohaniah, jasadiah, mahupun aqliah untuk menyambut tetamu yang kita nanti, Ramadhan Al Mubarak. Tidak ketinggalan dengan persiapan ilmu pengetahuan yang mantap antaranya dengan mendalami hukum hakam berkaitan puasa Ramadhan yang dituntut oleh syara’, kerana amal tanpa ilmu adalah amal yang sia-sia.
Beberapa permasalahan fiqh beserta hukum yang berkaitan dengan ibadah puasa di Bulan Ramadhan :
PERMASALAHAN 1
"HUKUM BERPUASA KETIKA BERMUSAFIR"
Soalan :
Manakah lebih baik antara berbuka dan berpuasa bagi orang yang bermusafir pada bulan Ramadan?
Jawapan :
Pada dasarnya ibadah puasa itu tidak diwajibkan ke atas orang yang dalam permusafiran, kerana musafir itu merupakan salah satu keuzuran syar‘ie yang menyebabkan beberapa kewajipan yang berbentuk ‘azimah diangkat dari mereka. Dan wajib ke atas mereka menggantikan puasa yang ditinggalkan tersebut pada hari yang lain.
Firman Allah s.w.t:
"فمن كان منكم مريضا أو على سفر فعدة من أيام أخر"
Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”
(Surah Al-Baqarah: 184)
Namun begitu terdapat beberapa pendapat di sisi ulama’ fiqh pada dhawabit (prinsip) berbuka puasa bagi orang yang musafir setelah cukup syarat-syaratnya:
1-Hendaklah perjalanan melebihi 2 marhalah iaitu 82 Kilometer atau setengahnya mengatakan 89 Kilometer.
2-Mula bermusafir sebelum subuh.
-Mazhab As-Syafieyah dan Malikiyah mensyaratkan hendaklah dimulakan musafir sebelum subuh barulah dibolehkan berbuka pada siang harinya. Iaitu jika dimulakan musafir selepas subuh tidak dibolehkan berbuka melainkan terdapat kesusahan yang berat yang tidak tertanggung. Ini berdasarkan hadis Jabir r.a:
“Bahawasanya Rasulullah s.a.w bermusafir ke Mekkah dan baginda s.a.w berpuasa dan sahabat-sahabatnya juga berpuasa sehinggalah mereka sampai ke “Kira’ Al-qhomim”(Nama tempat di Pinggir Madinah). Maka dikhabarkan kepada baginda s.a.w bahawa mereka menjadi terlalu penat kerana berpuasa dan mereka melihat apakah yang engkau lakukan wahai Rasulullah s.a.w, maka baginda s.a.w meminta air dan meminumnya dan waktu ketika itu adalah selepas asar. Maka sebahagian sahabat turut berbuka dan sebahagian lain meneruskan berpuasa”
-Diriwayatkan oleh Muslim, an-nasaie dan at-tirmizi.
-Mazhab Al-hanafiyyah dan Al-Hanabilah tidak mensyaratkan dimulakan musafir sebelum subuh, maka apabila telah bermusafir maka diharuskan berbuka walaupun mula bermusafir selepas tergelincir matahari waktu zohor.Berdalilkan dengan apa yang diriwayatkan dari Abu Basroh Al-Ghifari yang berbuka setelah beliau memulakan perjalanan dan berkata:
“Ini adalah Sunnah Rasulullah s.a.w”
-Diriwayatkan oleh Abu Daud
3-Jumhur Fuqaha’ selain Al-Hanafiyyah mensyaratkan bahawa musafir itu hendaklah atas niat perkara yang diharuskan, sekiranya bermusafir untuk melakukan maksiat tidak dibolehkan berbuka atau menqasorkan solat.
Secara umumnya dapat disimpulkan bahawa:
Pendapat pertama : Pendapat Al-Hanabilah, disunatkan berbuka dan makruh berpuasa walaupun tiada kesusahan dalam bermusafir.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Bukanlah suatu kebajikan melakukan puasa dalam safar."
(HR. Bukhari dan Muslim)
Pendapat kedua : Jumhur fuqaha': Lebih baik baginya berpuasa sekiranya dengan berpuasa tidak memberi kemudharatan bagi orang yang bermusafir, maka adalah lebih baik meneruskan puasanya. Tetapi sekiranya dia berbuka, dibolehkan; berdasarkan umumnya firman Allah s.w.t :
"وأن تصوموا خير لكم"
Maksudnya : ”Dan puasamu itu lebih baik bagimu”
(Al Baqarah : 184)
Dan sekiranya dengan berpuasa akan memberi kemudharatan pada dirinya, wajib ke atasnya berbuka dan haram baginya berpuasa.
Pendapat ketiga : Sebahagian fuqaha’ Al-Syafiieyyah yang lain, Sama hukumnya berpuasa dan berbuka puasa ketika musafir.
- Hadis yang diriwayatkan daripada Saiyidatuna ‘Aisyah r.a:
“Sesungguhnya Hamzah bin ‘Amr Al-Aslamiy berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alahi wasallam : “Adakah mesti aku berpuasa di dalam musafir?” (Walhal) adalah Hamzah itu seorang yang banyak mengerjakan ibadah puasa. Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Jika engkau hendak berpuasa berpuasalah dan jika engkau hendak berbuka, berbukalah.”
(HR. Bukhari)
- Dari Anas bin Malik 'Radhiallahu 'Anhu berkata: "Aku pernah melakukan safar bersama Rasulullah 'Shallallahu 'Alaihi Wa 'Ala Alihi Wa Sallam di bulan Ramadhan, orang yang puasa tidak mencela yang berbuka dan yang berbuka tidak mencela yang puasa."
(HR. Bukhari dan Muslim)
- Dari Abu Said Al-Khudri 'Radhiallahu 'Anhu berkata:
"Para sahabat berpendapat barangsiapa yang merasa kuat lalu puasa itu adalah baik, dan barangsiapa yang merasa lemah kemudian berbuka itu juga baik."
(HR. At-Tirmidzi dan Al-Baghawi dengan sanad sahih)
Qaul syaz(lemah)
-Mazhab Az-Zohoriyyah: Tidak sah puasa bagi orang yang bermusafir dan orang sakit di bulan Ramadhan berdasarkan firman Allah taala:
“Dan siapa yang sakit atau di dalam safar hendaklah dia menggantikannya di hari yang lain(selepas ramadhan)”
Al-Baqaroh:185
-Jumhur fuqaha’ menolak pendapat ini dengan mengatakan ayat tersebut terdapat mahfum yang dihazafkan(dibuang) kerana meringkaskan bahasa, takdirnya iaitu:
“Dan siapa yang sakit atau di dalam safar((dan dia berbuka)) hendaklah dia menggatikan di hari yang lain(selepas ramadhan)”
Wallaha'lam....
Disediakan oleh:
Ustazah Siti Rabiatul Adawiyah Binti Mohd Roslan
Panel Qawaid Fiqhiyyah -Darul Ifta'
Pengkhususan Fiqh Wal usul
Mu'tah University, Jordan.
0 comments:
Post a Comment