Tuesday, 5 July 2011

"BERSIH" dari penelitian Al-Quran dan Sunnah

                                        




بسم الله الرحمن الرحيم                                                                                               
             Di atas pertanyaan sahabat-sahabat serta keadaan yang berlaku kini yang menuntut kepada suatu jawapan, maka kami akan menghuraikan pandangan islam berlandaskan Al-quran dan sunnah berkenaan perhimpunan “BERSIH”.

            Di antara pertanyaan yang ditanyakan kepada kami:

  -Boleh tak diterangkan apa maksud tersirat ayat ni?
“ Dan adakah perhimpunan “bersih” termasuk di kalangan mereka yang keluar dari ketaatan kepada pemimpin” berdasarkan kata-kata Imam Nawawi:

“Adapun keluar dari ketaatan terhadap pemimpin      (penguasa)      serta memerangi (atau membangkang) mereka, maka hukumnya adalah haram berdasarkan kesepakatan (ijma’) umat Islam, walaupun pemimpin tersebut bersifat zalim lagi fasiq.”
(Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229. Turut disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari)
            Kami akan menyenaraikan dalil-dalil yang mengharamkan “Bersih” kemudian dalil-dalil yang mengharuskan, seterusnya kami akan merojihkan setelah kami perbahaskan dalil-dalil tersebut. Tetapi sebelum itu haruslah diketahui apakah tuntutan "BERSIH"

Lapan (8) Tuntutan BERS✔H 2.0:

1. Membersihkan senarai daftar pengundi
2. Mereformasikan undi pos
3. Penggunaan dakwat kekal
4. Akses media bebas dan adil
5. Tempoh minimum 21 hari berkempen
6. Kukuhkan institusi awam
7. Menghentikan rasuah
8. Menghentikan politik kotor


 

Pendapat yang mengharamkan “BERSIH”.

1-Firman Allah Taala:

“Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu”.
 An-Nisa’: 59

-Perhimpunan bersih tidak dibenarkan oleh kerajaan, maka hukumnya haram kerana melanggar arahan pemerintah.

2- Sabda baginda s.a.w :
باب قَوْلِ اللهِ تَعَالَى : {أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ}.
7137- حَدَّثَنَا عَبْدَانُ ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللهِ عَنْ يُونُسَ ، عَنِ الزُّهْرِيِّ ، أَخْبَرَنِي أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ : مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ ، وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ ، وَمَنْ أَطَاعَ أَمِيرِي فَقَدْ أَطَاعَنِي ، وَمَنْ عَصَى أَمِيرِي فَقَدْ عَصَانِي.

             Bab Firman Allah Taala: “Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul dan kepada pemimpin di kalangan kamu”

              Sabda baginda s.a.w: “Siapa taat kepadaku maka dia mentaati Allah, dan siapa yang mengingkariku maka dia mengingkari Allah, dan siapa yang taat kepada pemimpinku  maka dia mentaatiku, dan siapa yang mengingkari pemimpinku maka dia mengingkariku”
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari no hadis:7137

-Perhimpunan bersih termasuk di dalam mengingkari arahan ketua Negara, maka dia mengingkari Allah dan rasulnya.

3- Perhimpunan bersih akan menyusahkan pelbagai pihak, merosakkan harta benda,serta menyebabkan kemudhoratan dan kemusnahan kepada Negara, maka ia adalah diharamkan di dalam islam berdasarkan banyakkan ayat serta hadis yang menuntut menjaga keamanan dan kesejahteraan masyarakat dan Negara.

4-“Adapun keluar dari ketaatan terhadap pemimpin (penguasa) serta memerangi (atau membangkang) mereka, maka hukumnya adalah haram berdasarkan kesepakatan (ijma’) umat Islam, walaupun pemimpin tersebut bersifat zalim lagi fasiq.” (Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229. Turut disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari)

Pendapat yang mengharuskan “BERSIH”

1- “Bersih” bukanlah untuk memerangi kerajaan, tetapi ia menuntut agar mengembalikan keadilan pilihanraya kepada rakyat. Ia selaras dengan firman Allah Taala:

“Dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka Dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil”
Al-Maidah : 42

“Dan hendaklah Engkau menjalankan hukum di antara mereka Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah”.
Al-maidah : 49

-Menghukum dengan apa yang telah diturunkan adalah menghukum dengan adil dan tidak menzalimi rakyat.

2-
أن النبي صلى الله عليه و سلم قال إن من أعظم الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر
قال الشيخ الألباني : صحيح

         Sabda baginda s.a.w: "Jihad yang paling agung ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim". 
Diriwayatkan oleh At-Tirmizi dengan sanad sohih, no hadis:2174

-Maka perhimpunan bersih adalah untuk menyuarakan suara rakyat yang menuntut keadilan dan ia adalah dipuji oleh baginda s.a.w.

3-Kaedah fiqh menyebut:

التصرف على الرعية منوط بالمصلحة

-Maknanya: Perlakuan seorang pemimpin terhadap rakyatnya adalah berdasarkan manfaat. 

-Iaitu setiap keputusan pemimpin terhadap rakyatnya wajib diikuti selagimana ia memberi manfaat kepada rakyat. Mereka yang menghalang “Bersih” bukanlah kerana ia akan menghuru-harakan Negara, tetapi kerana mereka takut kehilangan sokongan rakyat di atas kezaliman yang telah dilakukan dan ingin terus berkuasa.

4-Sistem pemilihan pemimpin yang diamalkan di Malaysia ialah demokrasi iaitu mengikut pilihan rakyat, maka menghalang sistem ini dijalankan dengan telus adalah suatu kezaliman. Maka “BERSIH” adalah usaha untuk menghapuskan kezaliman ini dan mengembalikannya mengikut sistem asal yang telus dan suci.

Setelah diteliti dalil-dalil kedua-dua pendapat, kami merojihkan bahawa “Bersih” adalah diharuskan dan ia selari dengan tuntutan Al-Quran dan Sunnah. Kami akan menjawab dalil yang mengharuskannya seperti berikut:

1-Ayat Al-Quran yang menuntut taat kepada pemerintah adalah umum, maka haruslah diteliti pemimpin yang bagaimanakah yang dimaksudkan oleh Allah di dalam firmannya?

            Jika dilihat, lafaz “ulil amri” adalah sebaris dengan lafaz taat kepada Allah dan rasul, maka dapat difahami, “ulil amri” yang dimaksudkan oleh Al-Quran adalah pemimpin yang menghukum dengan ajaran Al-quran dan sunnah, jika tidak mengapa ia disebut sebaris dengan Allah dan Rasul??

2-Hadis “siapa yang mengingkari pemimpinku, maka dia mengingkariku”

-Lafaz hadis ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin yang wajib ditaati adalah pemimpin yang memerintah dengan adil sepertimana baginda s.a.w memerintah, kerana itu baginda s.a.w menyebut “Pemimpinku” iaitu orang yang mengikuti ajaranku dalam pemerintahannya.

3-Dalil ketiga yang disebutkan mengkaitkan dengan keburukan dan kerosakan yang akan timbul dengan perhimpunan ini, dalil ini juga tidak tepat kerana tidak bijak kita menghalang air dari mengalir ke ladang-ladang kerana terdapat sampah sarap di dalam saliran, sepatutnya sampah saraplah yang harus dibuang agar air dapat mengalir dengan lancar dan menyuburi tanam-tanaman. Oleh itu perhimpunan “bersih” adalah perhimpunan aman suara rakyat yang menunut keadilan diberikan mereka dengan cara yang baik, maka setiap provokasi yang boleh mencetuskan huru-hara haruslah ditangani dan dihapuskan agar ia dapat menghasilkan natijah yang baik kepada rakyat.

4-Kata-kata Imam An-Nawawi bahawa diwajibkan  mentaati pemerintah walaupun dia zalim dan diharamkan memeranginya. Kata-kata ini bermaksud: Hendaklah mentaati pemerintah walaupun  zalim selagimana arahan tersebut tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah kerana baginda s.a.w bersabda:

فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ عَلَيْهِ وَلاَ طَاعَةَ

“Sekiranya kamu diperintah atas maksiat, tiada didengar perintahnya dan tiada ketaatan terhadapnya” Diriwayatkan oleh At-tirmizi dan beliau mengatakan :Hasan Sohih.

4-Perhimpunan “bersih” bukanlah suatu penentangan atau peperangan atau “bugho” keluar dari pemerintahan  kerajaan, bahkan ia suatu cara untuk menyampaikan keadilan di dalam pilihanraya dan mengembalikan pemerintahan kepada sebuah pemerintahan yang adil dan saksama selaras dengan tuntutan syara’

          Imam Malik pernah mengeluarkan hukum bahawa tidak jatuh talak yang dipaksa dimana beliau berfatwa sedemikian adalah untuk membatalkan baiah dengan cerai yang dilakukan Khalifah Ja’far untuk mengekalkan kedudukannya sebagai khalifah, oleh itu beliau telah disebat sehingga pecah betisnya,adakah beliau seorang “bugho” penentang kerajaan?? Adakah beliau berdosa berkata yang benar terhadap kerajaan??

           Begitu juga Imam Ahmad bin Hanbal mempertahankan bahawa Al-Quran adalah “kalamullah” dan bukannya makhluk seperti yang diitikad oleh kerajaan yang dikuasai oleh fahaman Muktazilah ketika itu dan akhirnya beliau dipenjara, adakah beliau juga penetang kerajaan?? Adakah perbuatan beliau juga dikira berdosa kerana tidak taat pemerintah??

             Ramai lagi ulamak-ulamak islam yang ditangkap dan dipenjarakan kerana kebenaran mereka cuba sampaikan kepada pemerintah.

            Oleh itu, hukum perhimpunan “Bersih” adalah diharuskan oleh islam dan hendaklah pengajur melakukan pelbagai kaedah agar ia berjalan dengan baik dan teratur. Bahkan berdosalah sesiapa yang menghalang perhimpunan ini atau cuba membuat provokasi yang boleh menimbulkan kerosakan atau huru-hara semasa perhimpunan. Wallaha’lam…..


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons