PERMASALAHAN 2
WAKTU BERBUKA PUASA BAGI MUSAFIR DI ATAS KAPAL TERBANG.
Soalan :
Sekiranya Ali bertolak dari Jordan ke Malaysia selepas asar menaiki kapal terbang di siang hari Ramadhan, bilakah waktu untuk Ali berbuka puasa?
Menurut asal hukum syara’ waktu berbuka puasa itu ialah apabila tenggelamnya matahari (waktu Maghrib). Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"ثم أتموا الصيام إلى الليل"
“Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam (Maghrib)”
(Surah Al-Baqarah:187)
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Abi Aufa r.a katanya: Kami bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam satu perjalanan di bulan Ramadhan. Ketika bulatan matahari telah terbenam Baginda s.a.w bersabda: “Hai Fulan! Turunlah, dan siapkan makan kita!” Jawab orang itu, : Hari masih terang, ya Rasullullah! Sabda Rasulullah , “Turunlah dan siapkan makan kita!” kata Abdullah, “Orang itu pun segera turun, lalu dia menyiapkan makanan dan menyajikannya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam, dan Baginda langsung minum. Kemudian Baginda bersabda sambil menunjuk dengan tangannya : “Apabila matahari telah terbenam di sana, dan malam telah datang di sini, maka orang puasa sudah boleh berbuka”.
(Hadis Muttafaq ‘alaihi)
Persoalannya bagaimana halnya jika seseorang bermusafir dengan menaiki kapal terbang yang pada kebiasaannya matahari akan masih lagi tampak pada penglihatan penumpang walaupun ia sudah hilang (tenggelam) bagi mereka yang berada di bumi.
Pendapat Syeikh Abu Zuhrah r.a: Berpandukan ayat al-Quran dan hadis di atas, jika seseorang itu berpuasa dan bermusafir dengan menaiki kapal terbang dan ia sedang berada di udara, maka waktu berbukanya ialah apabila matahari itu hilang dari penglihatannya. Tidak sah puasanya jika ia berbuka selagi matahari masih terlihat pada pandangannya walaupun negeri dari tempat ia memulakan perjalanan itu sudah tiba saatnya untuk berbuka.
Sebagaimana yang berlaku bagi mereka yang menuju ke arah Timur, maka waktu siangnya adalah pendek berbanding dengan mereka yang menuju ke arah Barat waktu siangnya adalah panjang. Oleh yang demikian apa yang diambil kira sekarang bagi orang yang berpuasa itu ialah dengan terbenamnya matahari daripada penglihatannya, walau di mana ia berada ketika itu, dan bukan dikira dengan waktu tempatan yang dilaluinya atau waktu negeri yang ditinggalkannya.
Adapun sekiranya puasa sepanjang hari itu membebankannya, maka baginya terdapat kelonggaran(rukhsoh) yang mengharuskannya berbuka, sebaliknya jika tidak menyusahkan dan dia dapat menyempurnakan puasanya itu, maka yang afdhal adalah teruskan dan sempurnakan puasanya itu (seperti perbincangan pada permasalahan Fasal 1). Wallahu a'lam.
Pendapat sebahagian ulama' yang lain: Sekiranya dia mengetahui waktu yang tepat waktu berbuka di tempat yang sedang di laluinya, maka boleh dia berbuka mengikut waktu magrib tempat tersebut walaupun dia masih melihat matahari di dalam kapal terbang. Berdalilkan kaedah berpuasa dan berbuka dari nass hadis :
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ
Berpuasalah kamu(umat islam) berdasarkan penglihatan(anak bulan Ramadhan) dan berhari rayalah kamu berdasarkan penglihatannya(anak bulan syawal)
Riwayat Al-Bukhari:
Bentuk Istidlal: Tidak disyaratkan bagi semua orang melihat anak bulan ramadhan dan aidilfitri, memadai bagi sebahagian berpuasa dengan penglihatan sebahagian yang lain.
Maka kaedahnya: "Jika berada ditempat yang sama, penglihatan sebahagian sudah mencukupi bagi semua "orang berpuasa dan berbuka di kawasan tersebut
Maka kaedahnya: "Jika berada ditempat yang sama, penglihatan sebahagian sudah mencukupi bagi semua "orang berpuasa dan berbuka di kawasan tersebut
Maka boleh digunapakai kaedah diatas di dalam masalah boleh berbuka di atas kapal terbang ketika ketika melalui kawasan yang telah masuk waktu magrib sedangkan dia masih melihat matahari kerana berada di kedudukan yang tinggi, maka penglihatannya tidak digunapakai kerana dia berada di dalam keadaan luar dari adat manusia, maka hendaklah dia mengikut penglihatan terbenam matahari mengikut orang yang berada di atas bumi. Dan kerana dia berada di dalam kawasan yang sama Cuma ketinggiannya berlainan, maka mengapa dia tidak boleh berbuka sedangkan orang-orang yang berada di bawahnya semuanya telah berbuka.
Sekiranya dia tidak mengetahui waktu berbuka kawasan yang dilaluinya, maka hendaklah dia berbuka mengikut waktu berbuka dari negara dia berlepas berdasarkan kaedah:
"الأصل بقاء ما كان على ما كان"
“Asal hukum ialah mengekalkan hukum terdahulu pada hukum sekarang”
Dan sabda Baginda s.a.w:
“Berpuasalah berdasarkan penglihatannya (anak bulan) dan berbukalah(berhari raya) berdasarkan penglihatannya, sekiranya ia tidak kelihatan maka sempurnakanlah bilangan hari bulan sya’ban tiga puluh hari”
Bentuk istidlal: Mafhum hadis ini, sekiranya anak bulan tidak kelihatan atas sebab-sebab yang tertentu seperti cuaca buruk dan sebagainya, maka hendaklah dia mencukupkan bilangan bulan yang yakin iaitu 30 hari kerana 29 hari adalah bilangan bulan yang syak.
Maka dalam masalah berbuka di atas kapal terbang, sekiranya dia tidak mengetahui waktu berbuka di kawasan tersebut, hendaklah dia berbuka mengikut waktu yang dia tahu dan yakin iaitu waktu kawasan dia berlepas. Dia masih boleh mengikut waktu tempat dia berlepas sehinggalah dia mendarat berdasarkan kaedah: “asal hukum iaitu menghukum waktu sekarang dengan waktu terdahulu sehinggalah dia mengetahui waktu sekarang yang yakin”
Samalah seperti seorang yang dikurung di sebuah penjara yang dia tidak mengetahui waktu solat dan waktu berbuka, maka boleh baginya bersolat dan berbuka mengikut waktu mula-mula dia dipenjarakan walaupun waktu berubah-ubah. Wallaha’alam..
Oleh: Ustazah Siti Rabiatul Adawiyah Binti Mohd Roslan
Panel Qawaid Fiqh- Darul Ifta'
Takhasus Fiqh Wal Usul
University Of Mu'tah.
0 comments:
Post a Comment