Friday 29 July 2011

Permasalahan Fiqh Berkaitan Ramadhan(Fasal 1: Khilaf fuqaha' bermusafir ketika ramadhan)

 بسم الله الرحمن الرحيم

Permasalahan Fiqh Berkaitan Ramadhan
(Fasal 1: Khilaf fuqaha' bermusafir ketika ramadhan)

       Segala puji dan syukur ke hadrat Ilahi Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat Baginda s.a.w.

      Ramadhan yang bakal tiba dengan izinNya hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Bulan di mana setiap Muslim itu diperintahkan berpuasa sebulan, dengan seribu hikmah dan kemaslahatan tersirat, yang padanya ditawarkan ganjaran yang berlipat kali ganda. Pendek kata setiap Muslim yang sejati pasti ternanti-nanti dan menghitung hari menantikan bulan Maghfirah, Barakah wa Rahmah ini.

     Sebagaimana seorang tuan rumah perlu membuat persiapan dan memberi layanan yang terbaik kepada tetamunya, begitu jugalah setiap umat Islam perlu melengkapkan diri dari pelbagai aspek samada rohaniah, jasadiah, mahupun aqliah untuk menyambut tetamu yang kita nanti, Ramadhan Al Mubarak. Tidak ketinggalan dengan persiapan ilmu pengetahuan yang mantap antaranya dengan mendalami hukum hakam berkaitan puasa Ramadhan yang dituntut oleh syara’, kerana amal tanpa ilmu adalah amal yang sia-sia.

    Beberapa permasalahan fiqh beserta hukum yang berkaitan dengan ibadah puasa di Bulan Ramadhan :

PERMASALAHAN 1

"HUKUM BERPUASA KETIKA BERMUSAFIR"

Soalan :

Manakah lebih baik antara berbuka dan berpuasa bagi orang yang bermusafir pada bulan Ramadan?

Jawapan :

     Pada dasarnya ibadah puasa itu tidak diwajibkan ke atas orang yang dalam permusafiran, kerana musafir itu merupakan salah satu keuzuran syar‘ie yang menyebabkan beberapa kewajipan yang berbentuk ‘azimah diangkat dari mereka. Dan wajib ke atas mereka menggantikan puasa yang ditinggalkan tersebut pada hari yang lain.

Firman Allah s.w.t:

"فمن كان منكم مريضا أو على سفر فعدة من أيام أخر"

Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”
(Surah Al-Baqarah: 184)


     Namun begitu terdapat beberapa pendapat di sisi ulama’ fiqh pada dhawabit (prinsip) berbuka puasa bagi orang yang musafir setelah cukup syarat-syaratnya:

1-Hendaklah perjalanan melebihi 2 marhalah iaitu 82 Kilometer atau setengahnya mengatakan 89 Kilometer.

2-Mula bermusafir sebelum subuh.

-Mazhab As-Syafieyah dan Malikiyah mensyaratkan hendaklah dimulakan musafir sebelum subuh barulah dibolehkan berbuka pada siang harinya. Iaitu jika dimulakan musafir selepas subuh tidak dibolehkan berbuka melainkan terdapat kesusahan yang berat yang tidak tertanggung. Ini berdasarkan hadis Jabir r.a:

“Bahawasanya Rasulullah s.a.w bermusafir ke Mekkah dan baginda s.a.w berpuasa dan sahabat-sahabatnya juga berpuasa sehinggalah mereka sampai ke “Kira’ Al-qhomim”(Nama tempat di Pinggir Madinah). Maka dikhabarkan kepada baginda s.a.w bahawa mereka menjadi terlalu penat kerana berpuasa dan mereka melihat apakah yang engkau lakukan wahai Rasulullah s.a.w, maka baginda s.a.w meminta air dan meminumnya dan waktu ketika itu adalah selepas asar. Maka sebahagian sahabat turut berbuka dan sebahagian lain meneruskan berpuasa” 
       -Diriwayatkan oleh Muslim, an-nasaie dan at-tirmizi.

-Mazhab Al-hanafiyyah dan Al-Hanabilah tidak mensyaratkan dimulakan musafir sebelum subuh, maka apabila telah bermusafir maka diharuskan berbuka walaupun mula bermusafir selepas tergelincir matahari waktu zohor.Berdalilkan dengan apa yang diriwayatkan dari Abu Basroh Al-Ghifari  yang berbuka setelah beliau memulakan perjalanan dan berkata:

 “Ini adalah Sunnah Rasulullah s.a.w”
-Diriwayatkan oleh Abu Daud

3-Jumhur Fuqaha’ selain Al-Hanafiyyah mensyaratkan bahawa musafir itu hendaklah atas niat perkara yang diharuskan, sekiranya bermusafir untuk melakukan maksiat tidak dibolehkan berbuka atau menqasorkan solat.


Secara umumnya dapat disimpulkan bahawa:

Pendapat pertama : Pendapat Al-Hanabilah, disunatkan berbuka dan makruh berpuasa walaupun tiada kesusahan dalam bermusafir.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Bukanlah suatu kebajikan melakukan puasa dalam safar."
(HR. Bukhari dan Muslim)

Pendapat kedua : Jumhur fuqaha': Lebih baik baginya berpuasa sekiranya dengan berpuasa tidak memberi kemudharatan bagi orang yang bermusafir, maka adalah lebih baik meneruskan puasanya. Tetapi sekiranya dia berbuka, dibolehkan; berdasarkan umumnya firman Allah s.w.t :

"وأن تصوموا خير لكم"

Maksudnya : ”Dan puasamu itu lebih baik bagimu”
(Al Baqarah : 184)

Dan sekiranya dengan berpuasa akan memberi kemudharatan pada dirinya, wajib ke atasnya berbuka dan haram baginya berpuasa.

Pendapat ketiga : Sebahagian fuqaha’ Al-Syafiieyyah yang lain, Sama hukumnya berpuasa dan berbuka puasa ketika musafir.

- Hadis yang diriwayatkan daripada Saiyidatuna ‘Aisyah r.a: 
 “Sesungguhnya Hamzah bin ‘Amr Al-Aslamiy berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alahi wasallam : “Adakah mesti aku berpuasa di dalam musafir?” (Walhal) adalah Hamzah itu seorang yang banyak mengerjakan ibadah puasa. Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Jika engkau hendak berpuasa berpuasalah dan jika engkau hendak berbuka, berbukalah.”
(HR. Bukhari)

- Dari Anas bin Malik 'Radhiallahu 'Anhu berkata: "Aku pernah melakukan safar bersama Rasulullah 'Shallallahu 'Alaihi Wa 'Ala Alihi Wa Sallam di bulan Ramadhan, orang yang puasa tidak mencela yang berbuka dan yang berbuka tidak mencela yang puasa."
(HR. Bukhari dan Muslim)

- Dari Abu Said Al-Khudri 'Radhiallahu 'Anhu berkata: 
"Para sahabat berpendapat barangsiapa yang merasa kuat lalu puasa itu adalah baik, dan barangsiapa yang merasa lemah kemudian berbuka itu juga baik."
(HR. At-Tirmidzi dan Al-Baghawi dengan sanad sahih)

Qaul syaz(lemah)



-Mazhab Az-Zohoriyyah: Tidak sah puasa bagi orang yang bermusafir dan orang sakit di bulan Ramadhan berdasarkan firman Allah taala:

“Dan siapa yang sakit atau di dalam safar hendaklah dia menggantikannya di hari yang lain(selepas ramadhan)”
 Al-Baqaroh:185

-Jumhur fuqaha’ menolak pendapat ini dengan mengatakan ayat tersebut terdapat mahfum yang dihazafkan(dibuang) kerana meringkaskan bahasa, takdirnya iaitu:
“Dan siapa yang sakit atau di dalam safar((dan dia berbuka)) hendaklah dia menggatikan di hari yang lain(selepas ramadhan)”

Wallaha'lam....

Disediakan oleh:
Ustazah Siti Rabiatul Adawiyah Binti Mohd Roslan
Panel Qawaid Fiqhiyyah -Darul Ifta'
Pengkhususan Fiqh Wal usul
Mu'tah University, Jordan.

Wednesday 27 July 2011

Filem terbaik yang dihasilkan oleh barat terhadap islam..



Filem pendek ‘Promotion Islam’ terbaikk yang di hasilkan Barat (London).
Mendedahkan pada dunia tentang Muslim Civilisation (Zaman kegemilangan Islam) suatu masa dahulu, atau dikenali sebagai The Dark Age/ The Golden Age… 



Kenali Tokoh-tokoh Ulul Albab yang diperkenalkan dlm filem ni ;

*Maryam al Astrolabi       = pencipta kompas/ astroleb/calculator/teleskop (Tokoh HELWANIS 3C)
*al-Jazri                         = pencipta jam global
*Ibnu al-Haitam              = pencipta kamera, cinema
*Abbas Ibnu Firnas          = pencipta kapal terbang
*Abu Qassim al-Zahrawi  = Father of surgery (pembedahan) 

Pengamalan Sunnah di dalam fiqh oleh fuqaha’ dari 4 Mazhab (Fasal 1: Pengenalan Sunnah)

Pengenalan Sunnah


Takrif Sunnah

Sunnah dari segi bahasa :
"Jalan dan cara yang telah ditetapkan atau muktamad"[1]

Sunnah mengikut ulama usul :
Setiap apa yang disandarkan kepada nabi Muhammad s.a.w dari perbuatan, perkataan dan jugak taqrir (perkara yang didiamkan baginda).[2]

Jenis jenis Sunnah :

      Sunnah mengikut ulamak usul boleh dibahagikan kepada 3 bahagian yang utama, iaitu :


Sunnah Qauliah @ Perkataan.

      Sunnah Qauliah ialah apa yang dilafazkan atau disebut oleh Rasulullah s.a.w pada keadaan dan juga sebab yang berbeza yang bermunasabah dengan keadaan tertentu[3].

Contohnya sabda Baginda seperti :

(إنّما الاعمال بانيات ),( لا ضرر ولا ضرار ),( في سائمة زكاة)


Sunnah Fi’liyyah @ Perbuatan.

      Sunnah Fi’liyyah ialah setiap perbuatan dan perlakuan Baginda rasulullah s.a.w yang boleh menjadi satu syariat kepada kita umat islam bagi mengamalkan sesuatu. Contohnya seperti cara Baginda menunaikan solat 5 waktu, menunaikan haji, tindakan Baginda apabila menghukum dengan mendatangkan seorang saksi, memotong tangan pencuri dan lain-lain.


Sunnah Taqririyyah.

Sunnah Taqririyyah ialah apa yang dilakukan sahabat di hadapan Rasulullah, tetapi Baginda tidak melarang, atau menegah, ataua mengatakan ianya betul atau mengatakan ianya salah. Akan tetapi Rasulullah s.a.w redha dengan tindakan sahabat selagi ianya tidak menyalahi hukum syariah islam. Contohnya seperti tindakan Khalid al-Walid memakan dhob ketika bersama Rasulullah, dan bagaimana cara Muadz bin Jabal ketika bertanyakan cara menyelesaikan masalah di Yemen.


Pembahagian Sunnah mengikut keadaan sanad

     Berdasarkan jumhur ulama, pembahagian hadis mengikut keadaan sanad terbahagi kepada dua, iaitu Sunnah Mutawatirah dan Sunnah Ahad.  Akan tetapi disisi Imam Abu Hanifah ianya terbahagi kepada tiga, iaitu dengan penambahan Sunnah Masyhur.

Hadis
Sunnah Mutawatirah
Sunnah Masyhurah
Sunnah Ahad
Takrif
Sunnah Mutawatirah ialah apa yang diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w dan disandarkan sehingga kurun ke 3 selepas zaman Rasulullah s.a.w, iaitu zaman Rasulullah s.a.w dan sahabat, tabiien, taabie’, taabien yang bilangan perawinya dua atau lebih yang mustahil menipu ke atas Baginda.[4]

Sunnah Masyhurah ialah apa yang diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w yang bilangan perawinya pada setiap tobaqot tidak mencapai had sunnah mutawatirah[5]

Apa yang diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w yang bilangan perawinya sikit tidak memadai dengan syarat hadis mutawatir.[6]

Hukum
Hukumnya qat’ie thabit ke atas Rasulullah s.a.w, wajib mengetahuinya dan mengamalkannya, dan boleh dikatakan kufur jika mengingkarinya.[7]

Ianya qot’ie thabit jika disandarkan pada sahabat yang meriwayatkannya, tetapi tidak thabit kepada Rasulullah s.a.w, sifatnya lebih kepada zhon dari yakin kepada pengamalannya, dan boleh dikatakan fasiq siapa yang mengingkarinya.[8]

Ianya bersifat zhon, dan zhon disandarkan periwayatannya kepada Rasulullah s.a.w, akan tetap boleh jika beramal dengannya bukan untuk beriktiqad, kerana keraguan pada penthabitannya.



Pensabitan dalil dengan sunnah


  1. Hadis dan Sunnah ialah sumber kedua dalam pensaitan hukum syariah disisi ulama fiqh, dan ianya adalah yang kedua selepas Al-Quran.[9]
  2. Ini menunjukkan keperluan kepada sunnah perlulah diletakkan selepas keperluan kepada Al-Quran, kerana dalil Quran semuanya sabit dan qat’ie, akan tetapi sunnah bukanlah semuanya qat’ie dan sabit melainkan sunnah mutawatirah sahaja.[10]
  3.    Dalil-dalil bagi mengukuhkan keperluan sunnah dalam mengeluarkan hukum :
·         Rasulullah s.a.w tidak bercakap dengan nafsu melainkan wahyu dari Allah s.w.t semata-mata. firman Allah s.w.t : (( وما ينطق عن الهوى ان هو الّا وحى يوحى ))
·         Allah s.w.t memerintahkan kita supaya taat kepada Rasulullah s.a.w, firman Allah s.w.t : (( قل اطيعوا الله والرسول ))    
·         Umat islam hendaklah mengetahui taaat kepada Rasul itu bermakna taat kepada Allah s.w.t : (( من يطع الرسول فقد اطاع الله ))
·         Suruhan Allah s.w.t agar kita taat kepada apa yang dibawa Rasul s.a.w. firman Allah s.w.t : (( ما اتاكم الرسول فخذه وما نهاكم عنه فانتهوا  ))    
·         Adalah patut bagi muslim hendaklah berpegang pada ketetapan dari Allah dan Rasul s.a.w, firman Allah s.w.t : (( وما كان لمؤمن ولا مؤمنة اذا قضى الله ورسوله  ))   
·         Allah s.w.t telah memberi kepada rasulullah s.a.w hikmah dan kemampuan dalam mentafsir dan menjelaskan hukum-hukum dari Al-Quran, ini kerana Al-Quran itu ada hukum-hukumnya yang perlu penjelasan dari Rasulullah s.a.w, firman Allah s.w.t :   (( وانزل اليك الذكر لتبيّن للناس ما نزّل اليهم ))

Oleh: Ustaz Wan Ahmad Fuad bin Ahmad Kamil
Panel Hadis- Darul Ifta'
Pengkhususan usuluddin
Mu'tah University, Jordan.






[1] Al Wajiz fil Usul fiqh, Ustaz Duktur Wahbah Zuhaili, m/s 35.
[2] Al Wajiz fil Usul fiqh, Ustaz Duktur Wahbah Zuhaili, m/s 35.
[3] Al Wajiz fil Usul fiqh, Ustaz Duktur Wahbah Zuhaili, m/s 35.
[4] Al Wajiz fil Usul fiqh, Ustaz Duktur Wahbah Zuhaili, m/s 36.
[5] Taisir mustolah hadis, Dr Mahmud Tohan, m/s 25.
[6] Taisir mustolah hadis, Dr Mahmud Tohan, m/s 22.
[7] Al Wajiz fil Usul fiqh, Ustaz Duktur Wahbah Zuhaili, m/s 36.
[8] Al Wajiz fil Usul fiqh, Ustaz Duktur Wahbah Zuhaili, m/s 36.
[9] Al-Madkhal lidirasah As-Syariah Islamiyyah, Duktur Abdul Karim Zaidan, m/s 164.
[10] Al Wajiz fil Usul fiqh, Ustaz Duktur Wahbah Zuhaili, m/s 37.

Sunday 24 July 2011

Kedatanganmu ditunggu-tunggu wahai Ramadhan…

Kedatanganmu ditunggu-tunggu wahai
 Ramadhan…

                           Ramadhan akan menjelma wahai orang yang bijaksana ***
                                      Sambutlah ia selepas ketiadaannya yang lama***

                           Setahun berlalu umurmu di dalam kelalaian *** 
                                     Maka beringatlah kerana umur itu sentiasa berjalan ***


                         
Bersiap sedialah untuk bersabar atas kesusahan *** 
                                     Dan ganjaran kesabaran itu tiada sempadan ***


                          Allahlah yang akan membalasi orang yang menahan ***
                                     Kerana deminya mereka patuh segala ujian ***



       Tidak akan memasuki pintu “ar- rayyan” melainkan orang yang berpuasa ***
                       Dimuliakan mereka dengan sebuah pintu di syurga***


                 Tuhan memelihara mereka dari panasnya hari kebangkitan ***
                           Dari angin beracun dan kejahatan azab kesengsaraan ***


                      Dihidangkan mereka sungai arak dari air mata taman***
                               Enaknya mengatasi semua kenikmatan minuman ***



                       Inilah balasan orang yang berpuasa dari tuhannya ***
                                Dan mereka bergembira dengan sebaik-baik kemuliaan
                                           dan kehormatan disisinya***


                     Berbahagialah orang yang berpuasa demi keredhoan***
                                Kerana ia adalah kemuliaan di dalam ketaatan***








 Alihbahasa dan nukilan oleh:
Mohammad Amir Wan Harun
Panel Taqyif Fiqh Darul Ifta'
Takhasus Fiqh Usul
Mu'tah University.



Friday 22 July 2011

Hikmah terbesar ramadhan,buatMU insan.

Hikmah terbesar ramadhan,buatMU insan 
                                
  
         (Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.)
Surah al-baqarah:183.
 
               Bismillah,Ramadhan yang kita selalu harungi perjalanan didalam hidup ini ,pada setiap tahun sekali. Setiap setahun, dua belas bulan itu, datanglah satu bulan yang berbeza dengan bulan lain, iaitu ramadhan. Bulan ini, kita diperintahkan supaya kita berpuasa. Cuba kita renungkan kalam pencipta diatas, perintah supaya kita puasa. Maksud puasa itu dijelaskan lagi yang membawa maksud (supaya kamu bertaqwa). Maksudnya, tidak lain tidak bukan Iaitu supaya hubungan kita dengan pencipta kita (allah) itu terpelihara. Jelas menunjukkan maksud puasa itu. 

              Kita selalu mengakui bertuhan dengan allah, mengakui sebagaimana kita orang islam, tetapi pengakuan itu tidak cukup jika tidak disertai dengan perbuatan. Perbuatan itu (menambah teguh hubungan kita dengan allah). Menambahkan kesedaran kita sendiri dengan tuhan. Itulah maksud ayat  tadi. Cuba kita renung-renungkan bersama, apakah hikmah buat kita yang bergelar insan ini pada ayat tadi?.Cuba kita lihat,ramai orang yang mengakui menganuti pelbagai agama, namun tiada getaran didalam jiwa manusia tadi, tetapi berbeza dengan kita yang menganuti agama islam yang meliputi ruh serta jasad ini,  Kita mempunyai getaran jiwa kita dengan pencipta kita. 

         Apa buktinya?, buktinya setiap setahun, kita diperintahkan dalam sebulan sekali, mengukuhkan ikatan ruh serta jasad kita dengan pencipta kita(allah)dengan taat perintahnya, iaitu mengerjakan puasa. Bagaimanakah yang membawa maksud mengukuhkan ikatan dengan pencipta kita?. Maksud mengukuhkan ikatan tadi kerana pada bulan itu, kita insaf serta redha dengan perintah pencipta kita. Jiwa, ruh serta jasad kita akur serta dididik (bersih) dengan perintah ini. Apabila  jiwa kita tadi sudah dididik, kita tidak berasa kesepian. Kita dapat merasakan ada hubungan dengan pencipta kita (allah) .Cukup sekadar sebulan itu saja kita berpuasa. Dengan berpuasa jiwa kita menjadi insaf(bersih),serta diikuti ruh serta jasad kerana pada bulan puasa kita dapat menguasai diri kita, Kita menjadi displin kepada diri kita. Kita tidak makan serta minum, kerana kita patuh perintah tadi,dengan mendisplinkan jiwa kita.Kita mengaturkan diri kita sendiri,sehinggakan hawa nafsu kita tidak dapat mempengaruhinya.



         
Ada perpatah arab berbunyi:-

من لا يستطيع قيادة لنفسه,لا يستطيع قيادة لغيره.    
                       
(sesiapa yang tidak mampu,menguasai dirinya,dia tidak mampu menguasai orang lain).

              Itulah hikmah yang tertinggi kita dapat pada bulan puasa ini. Kita dapat menguasai diri kita.Terasa diri kita dididik selama sebulan. Apatah lagi, pada bulan ini kita digalakkan memperbanyakkan ibadat pada allah, Memperbanyak membaca al-quran, zikir(ingat pada allah). Demikianlah bulan ini mendidik kita. maka sudah tentulah besar pengaruhnya didalam penguasaan kedalam diri kita apatah lagi, apabila sudah berbuka, kita disunatkan bersolat tarawikh secara jemaah dimasjid. Terasa disiang hari kita lapar dahaga, tetapi terasa dimalam hari, rapat hubungan kita dengan kawam-kawan, apabila solat berjemaah selama sebulan.lelaki- perempuan, tua-muda saling mengukuhkan ukhwah dengan bersolat tarawikh dimasjid. Ditambah lagi, sudah hampir selesai kita berpuasa sebulan, kita dingatkan dengan sesuatu yang juga dapat menguatkan serta menyucikan jiwa kita, iaitu membayar zakat fitrah.

      Zakat diri, besar kecil membayar zakat. Dengan itu, tiap-tiap orang bertambah imannya,dengan memberi zakat,selaras dengan pesanan nabi kita:-

يد العى خيرمن يد السفلى                  
                                                             
(tangan  diatas(memberi itu )lebih baik daripada tangandibawah meminta)

             Jelaslah disitu, bertambah kekuatan iman dengan cinta sesama makhluk yang diajar pada bulan ramadhan. Dengan Ramadhan juga kita semua sama sahaja. Tua, muda, miskin serta kaya juga sama sahaja.disini, nampak tiada perbezaan darjat kehidupan didalam agama. Kita semua sama, yang membezakan kita,darjat amal ibadat kita.

           Kita diajar sebelum-sebelum ini bagaimana untuk mengisi  perut kita supaya kenyang, tetapi pada bulanini juga kita diajar bagaimana mengenangkan rohani? jiwa dengan mendekati allah . Turuti perintah serta larangannya. Selaras dengan pesanan nabi kita,Nabi Muhammad s.a.w :-

ومن قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه                          
   
)”Barangsiapa yang berdiri (menunaikan shalat) di bulan Ramadan dengan iman dan mengharap (pahala), maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni”(.[i]

      Disitu fahamlah kita, dengan puasa bulan Ramadhan,apabila dengan puasa kita menghitung balik amalan kita, dengan menambah amalan kita serta bermuhasabah kelalaian kita, sudah pasti tidak lain tidak bukan hanya satu, daripada tuhan kita, iaitu dosa kita akan diampuni.

         Begitulah wahai saudara-saudari, hikmah terbesar Bulan Ramadhan iaitu, penguasan diri kita, tidak lain tidak bukan untuk mendisplinkan diri kita untuk mensucikan jiwa kita. Kita fikirkanlah setiap hari, malamnya serta siangnya, latihan sebulan itu sudah banyak membuat perubahan besar  dalam kehidupan kita. Jika kita lihat seorang  kanak-kanak apabila ayahnya membelikan basikal untuk anaknya, apabila sebulan diajar menggunakan basikal, anaknya tadi sudah mahir.

          Jelas disitu, hanya sebulan, begitu juga diri kita, latihan sebulan itu sudah banyak mempergaruhi diri kita. Cuba kita fikir? dalam setiap setahun, sebulan itu tidak terdapatkah kesan perubahan diri kita? buruk kepada baik, tiadakah perubahan dalam pemikiran kita mengenai kehidupan?. Apakah kita sama saja?. Tiada kesedaran? tiada keinsafan?. Hidup yang sejati itu kebersihan jiwa, usaha untuk menjauhi perbuatan yang buruk, serta usaha untuk memperbanyakkan  perbuatan yang baik. cuba kita fikir-fikirkan.

Mohd Syafiq Bin Abdul Rahman
Panel Ijma' dan Aqwal Sohabah, Darul Ifta'.
Takhasusu Fiqh Wal Usul,
University Mu'tah.








[i] Hadith bukhari  no/2008.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons