Segala puji bagi Allah raja sekalian alam, selawat dan salam ke atas baginda s.a.w.
Alhamdulillah Ramadhan akan membuka tirainya tidak berapa lama lagi, bulan yang dilimpahkan keberkatan di dalamnya, bulan yang digandakan amalan kebaikan padanya…. Maka berpusu-pusu kebaikan
yang dilakukan untuk merebut peluang ganjaran bulan ini..
Antara amalan turun temurun di kebanyakkan tempat di Malaysia khususnya di bahagian Utara ialah upah membaca Al-Quran, zikir dan doa kepada kerabat yang telah meninggal dunia untuk menunjukkan kasih sayang yang dalam terhadapnya. Maka kita dapat lihat di surau-surau, tempat-tempat pengajian umum diedarkan borang-borang untuk menyertai amalan ini dan lazimnya bagi setiap nama arwah dikenakan RM10
sahaja sebagai upah untuk membacakan Al-Quran kepada si mati.
Ketika berada di Sekolah Menegah lagi apabila melihat borang-borang ini saya merasakan ada sesuatu yang tak kena, tetapi tidak berani bersuara kerana takut dimarahi oleh pak cik dan mak cik, takut juga dituduh sebagai pengikut “Wahabi” tambahan pula yang menganjurkan amalan ini adalah “Ustaz”, takkan ustaz buat benda yang tak betul? Tak kan la ustaz tu tak tau mana yang salah dan mana yang betul? Tok-tok guru dulu-dulu tak pernah kata apa-apa pun, takkan tiba tiba pulak saya nak kata amalan ni salah? Persoalan-persoalan ini yang selalu timbul setiap tahun tetapi tidak berani berkata apa-apa kerana siapalah saya kalau nak dibadingkan dengan ustaz-ustaz …..
Apabila telah mula mengenal serba sedikit tentang Al-Quran, Sunnah, Qaul-qaul Ulamak maka saya cuba mengkaji tentang amalan ini berdasarkan sumber hukum yang ada di dalam islam.
Saya tidak mahu sentuh tentang khilaf adakah bacaan Al-Quran sampai kepada si mati atau tidak, kerana kebanyakkan masyakarat di Malaysia berpegang kepada ianya sampai dan dalil-dalil pengharusan juga kuat. Cuma saya lebih suka untuk menghuraikan tentang penganjuran amalan mengambil dan memberi upah untuk membaca Al-Quran kepada si mati.
1-Amalan ini tiada di zaman Rasulullah s.a.w dan tidak pernah dilakukan oleh sahabat-sahabat r.a, dan tiada juga di zaman ulamak-ulamak terdahulu, amalan ini mula muncul sejak 100tahun sebelum ini akibat dari umat islam semakin jauh dari Al-Quran dan amalan-amalan islam yang lain.
2-Cuba kita tukar amalan ini dalam bentuk yang mudah difahami, amalan ini menuntut seseorang itu memberikan duit kepada seorang yang mahir dengan Al-Quran dan doa-doa supaya dia mendoakan si mati, maka apakah beza dengan cara pengampunan agama kristian yang menuntut supaya dibayar kepada paderi agar paderi mendoakan keampunan untuknya?
3-Adakah orang yang membaca Al-quran atau doa, dia ikhlas di dalam pekerjaannya? Sekiranya dia membaca Al-Quran untuk mendapatkan ganjaran bermakna tiada keikhlasan di dalam ibadat, dan ibadah yang tidak ikhlas sudah pasti tidak diterima, sekiranya amalan itu tidak diterima dari pembacanya pada peringkat awal lagi, maka bagaimanakah amalan itu akan sampai kepada si mati? Maka sia-sialah duit yang dibayar tadi.
4-sekiranya mereka mengatakan, upah haji boleh diterima di sisi Allah, mengapa upah membaca Al-Quran tidak diterima?
-Ulamak menjelaskan ibada itu ada tiga bahagian:
1-Ibadah badan. Seperti : Solat dan puasa,membaca Al-Quran,zikir, doa dan lain2.
2-Ibadan harta: Seperti zakat,diat,kafarah,fidyah dan lain2.
3-Ibadah badan dan harta: seperti haji dan umrah.
-Ibadah yang di dalamnya terdapat di dalam bahagian ibadah harta boleh dibuat oleh orang lain. Sepertilah seorang yang mengupah orang lain untuk mengira hartanya dan mengeluarkan zakat hartanya.Maka begitu juga di dalam haji, dan juga masalah menggantikan orang lain untuk membuat haji terdapat dalil yang khusus mengharuskannya.
-Ibadah badan tidak boleh digantikan dengan orang lain, maka tidak boleh seseorang itu bersolat untuk orang lain ataupun berpuasa untuk orang lain di sisi Imam Al-Syafie r.a. Maka tidak boleh disamakan upah haji dengan upah membaca Al-Quran.
5-Amalan ini merosakkan kehendak agama yang menuntut supaya seorang anak itu mendoakan ibu bapanya sendiri seperti di sebut di dalam hadis: “Apabila mati anak adam terputus melainkan 3 perkara: 1-Sedekah Jariah 2-ilmu yang bermanfaat 3- Anak soleh yang mendoakan ibu bapanya. Apabila doa kepada ibu bapa boleh diperolehi dengan memberi duit kepada seseorang yang lain, maka buat apa dia susah payah membaca Al-Quran dan berdoa untuk ibu bapanya, maka akan hilanglah kasih sayang terhadapa kedua orang tuanya.
-Banyak lagi dalil yang boleh ,menolak amalan ini dan ia bukan dari amalan islam. Sabda baginda s.a.w : “siapa yang melakukan amalan yang tiada dalam amalan kami, maka ia tertolak”.
-Dan islam itu adalah agama yang mudah dan sentiasa hendak memudahkan manusia. Islam tidak mengharamkan sesuatu melainkan ia mendatangkan ganti yang lebih baik dari itu. Islam mengharamkan zina dan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik iaitu pengharusan kahwin sehingga 4.
Islam telah menunjukkan jalan yang terang tentang cara berbuat baik kepada kedua ibubapa:
جاء رجل من بني سلمة فقال: يا رسول الله. هل بقي من بر أبواي شيء أبرهما بعد موتهما؟ قال: نعم، الصلاة عليهما، والاستغفار لهما، وإنفاذ عهدهما بعدهما، وصلة الرحم التي لا توصل إلا بهما، وإكرام صديقهم…. رواه أبو داود والبيهقي.
“Telah datang seorang lelaki dari Bani Salamah dan berkata: Wahai Rasulullah s.a.w adakah masih boleh aku berbuat baik kepada kedua ibubapaku setelah kematian mereka? Baginda berkata: Ya.. Berdoa ke atas keduanya, memohon keampunan terhadap keduanya, melaksanakan janji kedua-duanya yang tidak sempat dilaksanakan, menjaga silaturrahim dengan saudara-saudara kedua ibubapanya dan memuliakan rakan-rakan kedua-duanya”
Imam Ahmad berkata: “Siapa yang berdoa kepada kedua ibubapanya di dalam duduk tahiyyat solat lima waktu, maka dia telah berbuat baik kepada keduanya
Bersedekah dan mewaqafkan harta dan menghadiahkan sedekah dan waqaf kepada kedua orang tuanya. Ini adalah lebih baik kerana ulamak sepakat tentang keharusannya dan pahala tersebut sampai kepada si mati, berbanding mengupah orang untuk membacakan Al-Quran kerana keluar dari khilaf itu adalah yang terbaik.
جاء في حديث سعد بن عبادة حين استأذن النبى صلى الله عليه وسلم ان يتصدق عن امه فأذن
Hadis Saad bin Ubadah ketika beliau meminta izin dari Rasulullah s.a.w untuk bersedekah bagi pihak Ibunya, maka baginda s.a.w mengizinkannya.Diriwayatkan oleh L-Baihaqi (3220)
Wallaha’lam…
Oleh: Muhammad Amir Wan Harun
Takhasusu Fiqh Wal Usul
University Mu'tah.
Oleh: Muhammad Amir Wan Harun
Takhasusu Fiqh Wal Usul
University Mu'tah.
1 comments:
Fokus saya bukanlah hendak mencela amalan ini, tetapi untuk memberi panduan bahawa islam telah menunjukkan cara-cara yang jelas dan sohih bagaimana hendak berbuat baik kepada orang yg telah pergi, kenapa hendak diikut cara yang tidak ditunjukkan agama semata-mata ia adalah adat zaman berzaman bahkan terdapat keraguan di dalam kesahihan amalan tersebut..
M. Amir w. Harun
Post a Comment